suria

Dua Pengarah Dipenjara, Denda Kelirukan Bursa Malaysia Securities

KUALA LUMPUR: Dua bekas pengarah bukan eksekutif syarikat pengendali perkhidmatan kargo udara Transmile Group Bhd, masing-masing dihukum penjara satu tahun dan denda RM300,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, Jumaat kerana bersalah memberikan pernyataan yang mengelirukan kepada Bursa Malaysia Securities Bhd berhubung syarikat itu.

Hakim Datuk Jagjit Singh Banth Singh membuat keputusan itu selepas mahkamah mendapati Chin Keem Feung, 46, dan Shukri Sheikh Abdul Tawab, 47, yang diwakili peguam Mohd Firuz Jaffril dan Tan Hock Chuan, gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap kes di akhir kes pembelaan.

Beliau turut mengarahkan kedua-dua tertuduh ditambah hukuman penjara enam bulan jika gagal menjelaskan denda itu.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi selesai.

Jagjit Singh juga membenarkan permohonan kedua-dua tertuduh menerusi peguam mereka untuk menjelaskan denda itu secara ansuran dengan bayaran RM150,000 pada Jumaat dan selebihnya dibayar sebelum atau pada 30 November ini. Chin dan Shukri dituduh dengan sengaja mengesahkan pernyataan mengelirukan itu, yang mengandungi laporan suku tahun syarikat berkenaan berhubung hasil-hasil disatukan yang tidak diaudit bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2006.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Bursa Malaysia Securities Berhad, Exchange Square, Bukit Kewangan, di sini pada 15 Februari 2007 mengikut Seksyen 122B(b)(bb) Akta Sekuriti Industri 1983 (Akta 280) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 122B akta yang sama.

Sepanjang prosiding kes itu, pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Shanti Geoffrey dan Pegawai Pendakwa Nor Rifhan Rozi, mengemukakan 11 saksi manakala pihak pembelaan mengemukakan dua saksi. - BERNAMA

Artikel Lain