suria

Banjir: Malaysia Sumbang Keperluan Asas Kepada Thailand, Myanmar & Kemboja

KUALA LUMPUR: Malaysia menerusi Kementerian Pertahanan (Mindef) akan menyumbang barangan keperluan asas kepada Thailand, Myanmar dan Kemboja yang kini dilanda banjir besar.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pada Jumaat, ketiga-tiga negara ASEAN itu akan menerima bantuan berupa khemah, set jentera untuk menjana kuasa elektrik dan penapis air, yang kini disimpan di depot simpanan Mindef.

"Perkara ini (bantuan) telah dimaklumkan kepada Jemaah Menteri hari ini dan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata penghantaran barangan itu akan diuruskan secepat mungkin oleh MKN.

Ahmad Zahid turut meminta individu, sektor korporat dan badan bukan kerajaan yang mahu menyalurkan bantuan supaya menyerahkannya kepada Mindef untuk penghantaran ke negara berkenaan.

Dalam pada itu, beliau bersimpati dengan Thailand yang tidak dapat menghantar pasukannya ke Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) yang akan berlangsung dari 6 hingga 10 Disember ini.

Thailand dilanda banjir besar sejak Julai lepas hingga meragut 373 nyawa setakat ini manakala di Myanmar, yang dilanda banjir sejak minggu lepas, dilaporkan mengorbankan 100 nyawa. Banjir di Kemboja sejak Ogos pula menyebabkan 247 orang meninggal dunia.

Terdahulu, Ahmad Zahid menyampaikan cek bernilai RM128,000 kepada keluarga allahyarham Ahmad Aizat Mohd Daud, pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), yang terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban pada 15 Mei lepas, dua hari sebelum menjalani latihan itu di Kem Semarak, Pekan Pahang.

Pampasan itu merangkumi insurans kematian sebanyak RM120,000, khairat RM5,000 dan RM3,000 untuk pengurusan jenazah.

Ahmad Zahid berkata setiap pelatih PLKN dilindungi insurans sepanjang menjalani latihan termasuk tiga hari sebelum melapor diri dan tujuh hari selepas menjalani latihan.

Sementara itu, bapa allahyarham, Mohd Daud Ismail, 58, berkata pampasan itu akan digunakannya untuk keperluan keluarganya selain mengadakan kenduri tahlil buat Ahmad Aizat.

"Sebelum terlibat dalam kemalangan itu, allahyarham sangat teruja untuk mengikuti program itu namun hajatnya tidak kesampaian," katanya.

Turut hadir ibu allahyarham Wan Som Wan Musa, 58. - BERNAMA

Artikel Lain