suria

24,000 Peroleh Pekerjaan Melalui Karnival Kerjaya Pemuda BN

KUALA LUMPUR: Seramai 24,000 penganggur dan lepasan universiti telah berjaya mendapatkan pekerjaan dalam pelbagai bidang melalui penganjuran beberapa siri Karnival Kerjaya Pemuda Barisan Nasional (BN) sejak 10 bulan lepas.

Pengerusinya Nazir Hussin Akhtar Husin berkata karnival yang diperkenalkan Mac lepas telah berjaya membuka beribu peluang pekerjaan kepada semua golongan masyarakat tanpa mengira latar belakang pendidikan.

"Kurang daripada 10 bulan kita telah melihat hasil positif penganjurannya, justeru kami berharap statistik ini dapat membuka mata semua pihak tentang usaha kerajaan BN menangani masalah pengangguran di kalangan golongan muda khususnya," katanya kepada pemberita pada majlis prapelancaran karnival itu oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin di sini, Khamis.

Karnival tiga hari itu yang akan bermula pada 18 Nov di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) akan disertai kira-kira 600 syarikat dan organisasi pelbagai sektor yang menawarkan lebih 30,000 jawatan kosong pelbagai peringkat termasuk untuk lulusan ijazah.

Nazir Hussin berkata karnival itu merupakan yang terakhir tahun ini bagi siri karnival yang telah diadakan di pelbagai lokasi di seluruh negara.

"Bermula pada Mac lepas di PWTC, karnival turut diadakan di Sungai Petani, Kedah, Kuantan, Pahang, Ayer Keroh, Melaka, Kota Kinabalu, Sabah dan Ipoh, Perak.

"Apa yang membanggakan ialah penganjuran karnival ini telah mendapat sambutan yang luar biasa daripada pengunjung di setiap lokasinya," katanya.

Beliau berkata karnival tersebut turut menampilkan perbezaan dan penambahbaikan berbanding penganjuran sebelum ini dengan adanya rakan strategik karnival iaitu Majlis Amanah Rakyat (MARA).

"MARA akan memberi peluang dan menawarkan segala peluang serta kemudahan kepada pengunjung untuk mendapatkan pekerjaan termasuk program latihan serta peluang perniagaan daripada agensi di bawah MARA.

"Tidak ketinggalan lebih 30 syarikat francais yang terkemuka akan turut sama menjayakan karnival ini dengan menawarkan peluang perniagaan kepada mereka yang berminat serta peruntukan pinjaman sebanyak RM50,000," katanya.

Tambahnya melalui penambahbaikan yang diadakan, pihaknya mensasarkan lebih 400,000 pengunjung dan berharap karnival ini dapat menangani masalah ketidakpastian soal kerjaya di kalangan golongan muda terutamanya di Lembah Klang dan sekaligus mengurangkan masalah pengangguran. - BERNAMA

Artikel Lain