suria

Permohonan Menteri Batal Pembelaan Anwar Diketahui 15 November

KUALA LUMPUR: Permohonan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk membatalkan sebahagian pembelaan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam saman fitnah berhubung video seks yang didakwa mirip Ketua Pembangkang itu akan diputuskan pada 15 November ini.

Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk V. T Singham menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan yang dikemukakan oleh peguam-peguam yang mewakili Hishammuddin dan Anwar.

Pada prosiding itu, Hishammuddin diwakili oleh peguam Tan Sri Cecil Abraham manakala peguam Sulaiman Abdullah hadir mewakili Anwar.

Cecil menghujahkan pembelaan Anwar yang mendakwa kenyataan tersebut dikeluarkan atas kapasiti perlindungan bersyarat adalah tidak relevan kerana ia adalah kenyataan yang berbentuk politik.

"Dalam kes ini, defendan (Anwar) telah menuduh plaintif (Hishammuddin) telah bertanggungjawab dalam menayangkan video itu tanpa asas, sedangkan terdapat individu lain yang telah didakwa berhubung video tersebut," katanya.

Bagaimanapun, Sulaiman tetap menegaskan bahawa Anwar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berbentuk fitnah terhadap Hishammuddin.

"Untuk memutuskan sama ada kenyataan itu dibuat dengan niat jahat (mala fide) atau tidak, Anwar perlu diberi peluang untuk membela dirinya dalam satu perbicaraan yang adil," tambah Sulaiman.

Pada 26 April lalu, Hishammuddin memfailkan saman fitnah terhadap Anwar berhubung wawancaranya dengan wakil media pada 22 Mac lalu di Balai Polis Dang Wangi, di sini selepas membuat laporan menafikan yang dirinya adalah lelaki dalam video itu.

Hishammuddin, 50, berkata kata-kata dalam temubual itu antara lain bermaksud yang beliau bertanggungjawab menayangkan video berkenaan kepada sekumpulan editor dan wartawan di hotel Carcosa Seri Negara pada 21 Mac lalu.

Menteri itu berkata kata-kata itu juga bermaksud yang beliau telah mengaturkan penayangan video itu dan berkomplot dengan perdana menteri dan pegawai tinggi polis berhubung penayangan video itu.

Anwar dalam pernyataan pembelaannya berkata, kata-kata beliau dalam wawancara itu telah diterbitkan atas kapasiti pelindungan bersyarat dan kedudukannya sebagai ketua pembangkang.

Ahli Parlimen Permantang Pauh itu turut memfailkan kenyataan balas menyatakan kata-kata Hishammuddin pada sidang media pada 21 Mac lalu, seolah-olah mengesahkan kenyataan oleh tiga individu yang mendedahkan video itu bahawa pelaku dalam video itu adalah dirinya.

Hishammuddin, dalam jawapannya, berkata Anwar mempunyai niat jahat semasa mengeluarkan kata-kata memfitnah itu yang kemudiannya telah dilaporkan secara meluas di media dan Internet.

Beliau berkata kata-kata itu bukan diterbitkan dengan niat baik dan motif utama Anwar ialah untuk mencemarkan reputasinya sebagai menteri dan ahli politik.

Artikel Lain