suria

Penolakan Cadangan Pelabelan Wajib Minyak Sawit Berita Gembira:Najib

PERTH: Perdana Menteri berkata penolakan terhadap cadangan pelabelan wajib minyak sawit oleh kerajaan Australia merupakan satu keputusan yang sangat gembira, terutama ke atas industri sawit negara.

"Kerajaan Australia tidak sokong cadangan untuk pelabelan minyak sawit," kata Datuk Seri Najib Tun Razak kepada media Malaysia di luar acara Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM), di sini Khamis.

"Ini satu keputusan yang amat gembira, terutama kepada industri minyak sawit," kata Najib yang tiba lewat malam tadi bagi menghadiri mesyuarat tiga hari itu.

Laporan sebelum ini menyebut kerajaan Australia akan menentang Rang Undang-undang antidagangan, yang disokong oleh Parti Liberal Nasional, terhadap pelabelan wajib minyak sawit memandangkan ia melanggar obligasi Australia terhadap Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Bertemakan "Membangunkan Ketahanan Nasional, Membina Ketahanan Global", CHOGM 2011 akan dibuka Jumaat ini secara rasmi oleh Ratu Elizabeth II.

"Ia merupakan kejayaan besar untuk kita. Itu sebab pentingnya berkerjasama memandangkan ia memberi kesan limpahan ke atas sektor yang lain.

"Keputusan itu positif dari segi membantu mereka dalam satu bidang, selain limpahannya ke atas bidang yang lain," kata Najib.

Beliau juga berterima kasih kepada Kerajaan Australia atas sokongan terhadap isu pelabelan itu.

Perdana Menteri berkata rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Australia masih berjalan, dan ia dijangka dimuktamadkan pada Mac tahun depan.

Najib yang juga Menteri Kewangan, sebelum itu mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Australia, Julia Gillard, dan dijadual menemui Presiden Sri Lanka, Mahinda Rajapaksa.

Eksport produk minyak sawit Malaysia bernilai RM52.458 bilion sepanjang lapan bulan pertama tahun ini. Ia merekodkan eksport tertinggi kira-kira RM65 bilion pada 2008 dengan purata harga minyak sawit mentah (MSM) pada RM2,800 setan.

Tahun ini, harga MSM adalah pada purata RM3,200 setan. - BERNAMA

Artikel Lain