suria

Penguatkuasaan Enakmen Cegah Murtad Perlu Diperkukuhkan - Jamil Khir

KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam perlu dikukuhkan memandangkan penguatkuasaan di peringkat negeri belum tersusun mengikut undang-undang sedia ada.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, walaupun enakmen itu wujud tetapi jika penguatkuasaan tidak dilakukan maka ia tidak memberi apa-apa makna.

"Apa yang penting penguatkuasaan perlu dilakukan bukan sekadar membiarkan kewujudan enakmen itu. Kalau kes murtad dibawa ke muka pengadilan, maka pihak yang memainkan peranan selepas ini adalah pihak penguatkuasaan," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat tapak pembinaan Sekolah Menengah Agama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (SMA-MAIWP) di Bandar Sri Permaisuri, Cheras di sini, Khamis.

Menurut beliau, penguatkuasaan itu perlu dikukuhkan kerana masih ramai yang tidak menyedari kewujudan enakmen tersebut yang sudah diwartakan sejak 1980.

"Saya rasa elok kita lihat dari sudut positif jika penguatkuasaan dilaksanakan. Mana-mana kekurangan kita akan lihat dengan lebih mendalam," katanya.

Ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2012 pada persidangan Dewan Rakyat, Isnin lalu, Jamil Khir berkata, orang bukan Islam yang menyebarkan fahaman agama mereka kepada umat Islam boleh didakwa di Mahkamah Sivil mengikut enakmen tersebut.

Jamil Khir dipetik sebagai berkata, kesalahan yang diperuntukkan di bawah enakmen itu antaranya melibatkan kesalahan memujuk, mempengaruhi atau menghasut orang beragama Islam supaya mengubah keimanan.

"Dalam kes murtad, ia bukan saja melibatkan satu sudut tetapi orang yang memurtadkan umat Islam itu mungkin dari kalangan bukan Islam. Jika kes ini dibawa ke Mahkamah Syariah, golongan bukan Islam berdepan kekangan untuk berada di mahkamah tersebut," katanya.

Antara negeri yang menguatkuasakan enakmen itu ialah Terengganu, Kelantan, Selangor, Melaka, Kedah, Pahang, Johor, Negeri Sembilan dan Perlis.

Sementara itu, Jamil Khir berkata, pembinaan sekolah agama yang dibiayai sepenuhnya oleh MAIWP dengan menelan belanja, RM151 juta sudah 46 peratus siap dan dijangka siap sepenuhnya lebih awal daripada tarikh ditetapkan iaitu pada Jun 2012.

"Ini kali ketiga saya melawat tapak untuk memastikan projek berjalan mengikut jadual. Saya berpuas hati dengan perkembangan projek setakat ini dan berharap pembinaan sekolah ini mampu membantu golongan asnaf mendapat pendidikan," katanya.

Buat masa ini, seramai 469 pelajar meneruskan persekolahan sementara di SMA-MAIWP Bandar Tun Razak, Cheras di sini.

"Sekolah baru ini kelak akan dapat menampung 1,200 pelajar dari golongan asnaf yang berada di sekitar ibu negara seiring dengan hasrat MAIWP untuk mewujudkan pendidikan tahfiz, sains dan Inggeris," ujarnya.

Artikel Lain