suria

Pengeluaran Hasil Padi Sehektar P.Pinang Mengatasi Selangor

GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada Khamis berkata, pengeluaran padi di negeri itu tahun lalu telah mengatasi beberapa negeri pengeluar utama padi negara yang lain seperti Selangor berdasarkan hasil sehektar.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Mansor Othman berkata, negeri itu telah menghasilkan 5.7 tan metrik padi sehektar berbanding Selangor pada 5.6 tan metrik sehektar.

“Angka ini membuktikan Pulau Pinang terus memperlihatkan peningkatan pada pengeluaran hasil pertaniannya setiap tahun kerana kita sentiasa memberikan keutamaan kepada pengeluaran hasil pertanian,” katanya dalam satu sidang akhbar Khamis.

Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah Exco Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Law Choo Kiang.

Antara lain katanya, kawasan pengeluaran utama padi Pulau Pinang ialah Kepala Batas, Tasek Gelugor dan Permatang Pauh di daerah Seberang Perai Utara dan Tengah.

Menurut Law, Pulau Pinang telah berjaya mencapai 79% keupayaan diri untuk pengeluaran padi berbanding angka yang disyorkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani iaitu pada kadar 70%.

Katanya, lain-lain pengeluaran asas tani yang memperlihatkan peningkatan kecekapan pengeluaran di negeri itu ialah ayam, telur ayam dan ikan.

Dalam pada itu, Mansor mengumumkan bahawa sambutan Hari Peladang, Penternak, Nelayan dan Karnival Koperasi peringkat negeri yang telah pun bermula pada Khamis di Tapak Ekspo Seberang Jaya akan diteruskan sehingga 30 Oktober ini. Ekspo itu bermula dari jam 9 pagi hingga 11 malam.

Artikel Lain