suria

Jabatan Perikanan P. Pinang Tahan Dua Bot & Enam Awak-Awak

GEORGE TOWN: Jabatan Perikanan Pulau Pinang menahan dua bot pukat tunda tempatan bersama enam awak-awak termasuk tiga warga Thailand dalam satu operasi berhampiran Gertak Sanggul, dekat sini pada Rabu.

Pegawai Perikanan Mohd Rafi Hasan berkata awak-awak yang ditahan itu berusia antara 26 dan 55 tahun dan ditahan dalam operasi yang dijalankan dari 4.45 petang hingga 5.50 petang.

Beliau berkata operasi itu dijalankan selepas mendapat maklumat daripada nelayan pantai yang memaklumkan beberapa bot pukat menceroboh kawasan mereka.

"Sepasukan penguatkuasa dikejarkan ke kawasan perairan Gertak Sanggul dan menahan dua bot berkenaan yang sedang menangkap ikan di 7.6 batu nautika dari pantai Gertak Sanggul," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Katanya siasatan awal mendapati kedua-dua bot pukat tunda yang mendaftar di Kuala Kedah, Kedah itu telah melakukan kesalahan iaitu menjalankan aktiviti memukat ikan kurang dari 12 batu nautika dari pantai.

"Kita turut merampas ikan bernilai RM500 yang ditangkap oleh nelayan kedua-dua bot berkenaan," katanya.

Mohd Rafi berkata siasatan awal juga mendapati tiga awak-awak warga Thailand berkenaan mempunyai dokumen perjalanan dan permit bekerja sebagai nelayan di Malaysia. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985.

"Operasi berterusan akan dijalankan bagi memastikan sumber perikanan negara tidak terjejas dan nelayan pantai tidak mengalami kerugian ekoran peralatan mereka rosak dilanggar bot pukat tunda sehingga menjejaskan pendapatan mereka," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain