'Datuk' Warga Singapura Ditahan Kerana Menipu - Semasa | mStar

'Datuk' Warga Singapura Ditahan Kerana Menipu

JOHOR BAHARU: Seorang warganegara Singapura dikenali sebagai "Datuk Mohd Shah" ditahan Jumaat lalu kerana dipercayai menipu seorang ahli perniagaan warga tempatan membabitkan kerugian berjumlah RM946,560.

Lelaki itu ditahan di rumahnya di Jalan Setia Tropika di sini bersama-sama isterinya yang merupakan warganegara Malaysia berikutan empat laporan polis yang dibuat ahli perniagaan berusia 42 tahun itu pada 14 Oktober lalu.

"Siasatan awal kita mendapati lelaki warga Singapura ini tiada gelaran Datuk," kata Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Johor Supt aMohd Luthfi Ismail Abdullah kepada pemberita di sini, Khamis.

Katanya suspek berusia 58 tahun itu yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau didakwa menawarkan kepada pengadu bantuan mendapatkan lesen senjata api, kontrak membina longkang, nombor pendaftaran kereta WWW 1 bersama kelulusan cermin gelap dan kelulusan pinjaman RM5 juta.

Pengadu mendakwa telah membayar RM946,560 kepada suspek untuk khidmat menguruskan tawaran-tawaran tersebut, katanya. Katanya kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan disebat dan boleh juga didenda.

Percaya ramai lagi yang telah menjadi mangsa lelaki itu, Mohd Luthfi meminta mereka tampil untuk membantu siasatan.

Beliau menasihati orang ramai agar tidak mudah diperdaya dengan cara penipuan yang dilakukan ini sebaliknya menggunakan prosedur atau saluran yang betul melalui agensi-agensi yang telah ditetapkan untuk mendapatkan kelulusan sesuatu perkara.

Katanya sekiranya ada keraguan laporkan terus kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil IPK Johor di talian 07-2254656 atau mana-mana balai polis. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

TVET ada potensi besar untuk kerjaya masa depan, ini lepasan SPM perlu tahu untuk jadi graduan ‘terhangat di pasaran’

HEBAT calon-calon SPM tahun 2019 apabila pencapaian mereka lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

default image

Covid-19: Seminar Dr Azizan diteruskan secara online, tapi auranya ‘fuhhh’ macam buat dalam dewan besar - “Kami tak nak tangguh kejayaan anda”

PENULARAN wabak Covid-19 semakin meruncing berikutan peningkatan mendadak jumlah kes jangkitan virus itu di Malaysia.

Artikel Lain