suria

CAEXPO Tingkatkan Hubungan Ekonomi

NANNING: Ekspo China-Asean (CAEXPO) ke-8 yang berakhir pada Rabu berjaya meningkatkan lagi hubungan ekonomi dan rasa saling mempercayai antara China dan negara-negara Asean yang menyertainya, kata setiausaha agung Sekretariat Ekspo China-Asean Zheng Junjian.

Beliau berkata CAEXPO ke-8 itu juga menandakan ulang tahun ke-20 hubungan dialog China-Asean dan telah meningkatkan pembangunan Kawasan Perdagangan Bebas China-Asean (CAFTA).

"Kehadiran ketua-ketua negara termasuk Perdana Menteri Wen Jiabao, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Kemboja Hun Sen dan pegawai-pegawai kanan dari China dan negara-negara Asean menunjukkan bahawa mereka mahu meningkatkan kerjasama dan pembangunan CAFTA bagi kemakmuran bersama ketika berdepan dengan situasi ekonomi global yang sukar," kata Zheng di majlis penutup pameran itu.

Sebagai platform bagi pertukaran ekonomi dan juga diplomatik, ekspo tersebut juga mengumpulkan bersama ketua-ketua negara Asean dan China, yang mengadakan mesyuarat dua hala dan pelbagai hala bagi meningkatkan persefahaman dan keyakinan sesama mereka, katanya.

Beberapa pencapaian diumumkan pada majlis tersebut menandakan kejayaan ekspo tahun ini.

Nilai perdagangan yang dicatatkan oleh semua 10 negara Asean dan China semasa ekspo tersebut ialah sebanyak US$1.807 bilion, naik 5.6 peratus daripada tahun lepas.

Sejumlah 105 perjanjian kerjasama ekonomi antara China dan negara Asean dimeterai, dengan pelaburan berjumlah U$7.42 bilion, meningkat 10.86 peratus daripada tahun lepas.

"Malaysia memeterai perjanjian kerjasama ekonomi bernilai US$10 bilion dengan China semasa dialog meja bulat antara Perdana Menteri Malaysia dan beberapa ketua korporat China terpilih bersempena dengan CAEXPO," kata Zheng.

Pada majlis tersebut, Malaysia menerima tiga anugerah "Anugerah Organisasi Pempamer Terbaik", "Anugerah Organisasi Pembeli Terbaik" dan "Anugerah Memorial Negara Kehormat."

Myanmar akan menjadi Negara Kehormat di CAEXPO ke-9 yang dijadualkan dari 19-24 Okt tahun depan dengan tema "Kerjasama Sains dan Teknologi". - BERNAMA

Artikel Lain