suria

Banjir Thailand Tidak Jejas Penerbangan MAS dan AirAsia

KUALA LUMPUR: Penerbangan Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia ke Thailand tidak terjejas akibat banjir di negara gajah putih itu.

Jurucakap dua syarikat penerbangan itu memberitahu Bernama hari ini bahawa setakat ini tiada pembatalan penerbangan ke negara berkenaan.

Menurut jurucakap MAS dan AirAsia itu, kedua-dua syarikat penerbangan yang berpangkalan di Malaysia itu tidak menggunakan Lapangan Terbang Don Muang, yang dilapor ditutup sejak Selasa lepas selepas landasannya dinaiki air.

Mereka menjelaskan bahawa perkhidmatan MAS dan AirAsia menggunakan pintu masuk antarabangsa utama negara itu iaitu Lapangan Terbang Suvarnabhumi, yang tidak terjejas.

"Operasi penerbangan berjalan seperti biasa," kata mereka.

Penutupan lapangan terbang kedua terbesar di Bangkok, Don Muang itu mengakibatkan kebanyakan penerbangan ditunda.

Bencana alam itu adalah yang paling teruk dialami dalam tempoh 60 tahun di negara gajah putih itu.

Perkhidmatan pelanggan MAS dan AirAsia yang dihubungi juga mengesahkan tiada penerbangan ke Thailand yang dibatalkan hari ini.

"Operasi penerbangan berjalan mengikut jadual," kata mereka. - BERNAMA

Artikel Lain