suria

Australia Masih Minat Teruskan Perjanjian Pemohon Suaka Dengan Malaysia

PERTH: Australia masih berminat untuk melaksanakan perjanjian pemohon suaka dengan Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Australia masih lagi minat tetapi tidak mempunyai majoriti yang mencukupi (untuk menyokong cadangan) malah mereka hanya memerlukan satu undi sahaja lagi untuk menyokong cadangan itu," katanya kepada wartawan Malaysia selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Australia Julia Gillard di sini Khamis.

Dua pemimpin tersebut membincangkan isu-isu dua hala dalam pertemuan tersebut. Najib dan Gillard berada di ibu negeri Australia Barat ini bagi menghadiri Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) dan mesyuarat berkaitan.

Berikutan itu, Najib berkata cadangan tersebut ditangguhkan sehingga satu masa mereka mendapat sokongan yang mencukupi dan membentangkannya di Parlimen Australia.

Malaysia dan Australia menandatangi perjanjian pertukaran pelarian dan pemohon suaka di Kuala Lumpur pada 25 Julai lalu. Perjanjian itu melibatkan Australia menghantar 800 pemohon suaka ke Malaysia sebagai pertukaran untuk menerima 4,000 pelarian yang telah diproses.

Bagaimanapun, sebelum ini dilaporkan Australia menangguhkan pelaksanaan pertukaran suaka itu selepas Mahkamah Tinggi Australia memutuskan bahawa perjanjian sedemikian antara kerajaan Australia dan Malaysia menyalahi undang-undang.

Laporan menyebut bahawa Gillard memerlukan sokongan parlimen bagi penggubalan undang-undang untuk membenarkan rancangan pertukaran itu tetapi tidak mendapat undi yang mencukupi bagi membolehkan undang-undang itu diluluskan.

Najib yang menemui Gillard selama setengah jam untuk pertemuan dua hala berkata kerajaan pada masa ini begitu komited dan menaruh harapan dengan perjanjian itu.

"Mereka memerlukan satu lagi undi. Perkara itu kini sudah dibawa ke mahkamah Australia sekarang. Ia memerlukan sedikit usaha di pihak mereka bagi mendapatkan majoriti yang cukup di Parlimen," katanya.

Najib juga menegaskan bahawa penyelesaian (kepada isu itu) merupakan "penyelesaian Australia Malaysia dan bukan satu penyelesaian Malaysia."

Perjanjian itu berguna kepada Malaysia, katanya ketika menjawab satu soalan mengenainya.

"Urusan itu mampu mengurangkan bilangan pemohon suaka di Malaysia," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain