suria

Lebih 10,000 Masyarakat Sambut Deepavali Bersama PM Di Batu Caves

KUALA LUMPUR: Lebih 10,000 tetamu daripada pelbagai kaum dan latar belakang hadir bagi memeriahkan majlis rumah terbuka Deepavali anjuran MIC yang buat julung kalinya diadakan di perkarangan Kuil Batu Caves di sini, Rabu.

Dengan pelbagai juadah popular kaum India serta kaum lain yang dihidangkan, majlis rumah terbuka MIC yang bermula seawal pukul 9 pagi itu tidak henti-henti menerima kehadiran tetamu, baik di kalangan rakyat jelata mahupun orang kenamaan. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang tiba sejam selepas itu disambut oleh Presiden MIC Datuk G. Palanivel dan timbalannya Datuk Dr S. Subramaniam yang kemudiannya mengiringi beliau ke tempat duduk utama sambil diiringi paluan gendang dan tiupan serunai India. Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Duta Khas Malaysia ke India dan Asia Selatan Datuk Seri S. Samy Vellu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar serta beberapa timbalan menteri.

Bercakap semasa berlintas langsung dengan sebuah stesen televisyen tempatan, Perdana Menteri berkata kehadiran tetamu yang begitu ramai merupakan satu kemenangan kepada perjuangan transformasi yang sedang diusahakan kerajaan.

Najib berkata selaras dengan kepercayaan masyarakat India beragama Hindu iaitu Perayaan Pesta Cahaya merupakan satu kemenangan cahaya mengatasi kegelapan beliau yakin transformasi yang diperjuangkan juga membawa kepada matlamat serupa.

"Sambutan daripada orang ramai adalah sangat memuaskan. Ini menunjukkan usaha kerajaan melakukan transformasi makin meyakinkan masyarakat.

"Deepavali adalah satu perayaan mengikut kefahaman kaum India yang beragama Hindu... ia adalah satu kemenangan apabila cahaya mengatasi kegelapan, jadi kalau kita menyokong transformasi negara yang sedang diperjuangkan kerajaan, bererti bahawa kegelapan itu akan digantikan dengan cahaya," katanya.

Perdana Menteri berkata keputusan MIC memilih untuk mengadakan hari terbuka Deepavali di perkarangan Kuil Batu Caves merupakan satu pilihan yang tepat kerana lokasi tersebut yang sudah dikenali sekian lama memudahkan orang ramai untuk berkunjung.

"Hari ini saya lihat suasana begitu meriah sekali, jadi bila kita pilih tempat yang tepat, maka lebih ramai masyarakat dapat hadir," katanya.

Kepada kaum India beragama Hindu, Najib mengucapkan selamat menyambut Hari Deepavali, dengan harapan mereka terus memberi keyakinan nambikei (kepercayaan) kepada kerajaan.

Selepas lebih sejam meluangkan masa untuk meraikan Deepavali bersama rakan-rakan, anggota parti komponen Barisan Nasional serta rakyat jelata, Perdana Menteri dilihat meninggalkan majlis untuk ke Stadium Badminton Kuala Lumpur di Cheras bagi memenuhi undangan sambutan Deepavali anjuran Hindu Sangam.

Perdana Menteri yang sebelum itu tiba di lapangan terbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang pagi tadi dari Riyadh, Arab Saudi, terus menyertai sambutan perayaan Deepavali bersama warga akhbar berbahasa Tamil, Makkal Osai di Jalan Templer dekat sini sebelum ke Batu Caves.

Sementara itu, Perdana Menteri turut membuat kunjungan mengejut ke majlis rumah terbuka Deepavali anjuran Gabungan Dewan Perusahaan dan Perindustrian India Malaysia (Maicci) di Sentul di sini.

Najib yang tiba bersama-sama isteri Datin Seri Rosmah Mansor disambut dengan tepukan gemuruh daripada kira-kira 4,000 tetamu berbilang kaum.

Perdana Menteri meluangkan masa kira-kira 10 minit bersalaman dengan tetamu diiringi Presiden Maicci Datuk K.K Eswaran.

Turut hadir pada majlis sebelum itu ialah Muhyiddin dan isterinya, Liow, Dr Koh dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Seramai 500 anak yatim, orang kurang upaya dan warga emas diraikan pada majlis itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain