suria

Kelemahan Tujuh Kementerian dan Agensi Kerajaan Tidak Akan Berulang:Mohd Sidek

PUTRAJAYA: Kelemahan pengurusan kewangan tujuh kementerian dan agensi kerajaan, akan dipastikan tidak berulang, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Beliau berkata langkah-langkah penambahbaikan akan terus diperhebatkan untuk menjamin segala peruntukan yang diberi diurustabdir dengan berkesan.

"Saya tidak risau sangat bila Ketua Audit (Negara) beri pandangan sedemikian, saya risau jika masalah itu ada, tetapi Ketua Audit (Negara) tidak mahu beri pandangan," katanya kepada pemberita di sini Selasa.

Laporan Ketua Audit Negara 2010 semalam menyebut tujuh kementerian dan agensi kerajaan berada pada tahap pengurusan kewangan lemah.

Tujuh kementerian dan agensi itu ialah Kementerian Kesihatan; Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air; Kementerian Pengangkutan; Lembaga Hasil Dalam Negeri; Jabatan Kastam Diraja Malaysia; Perbadanan Stadium Nasional; dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Terdahulu, Mohd Sidek menyerahkan i-Pass kepada 11 tenaga kerja profesional asing yang bekerja di negara ini.

Pas itu digunakan sebagai bukti pengenalan di Malaysia tanpa perlu membawa pasport.

Pas yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen sejak September lepas itu juga, akan diberikan kepada tenaga kerja profesional yang memegang Pas Residen di bawah urus tadbir Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp). - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain