suria

Jabatan Penjara Nafi Tidak Lakukan Bedah Siasat Terhadap Mayat Mogana

KUALA LUMPUR: Jabatan Penjara Malaysia pada Rabu menafikan dakwaan kononnya pihak jabatan tidak menjalankan bedah siasat terhadap mayat seorang tahanan reman R. Mogana Sundram yang mati setelah menggantung dirinya dalam penjara tiga hari lepas, sebelum menyerahkan mayat tahanan itu kepada anggota keluarganya.

Sebaliknya, menurut jabatan itu, penyerahan mayat Mogana kepada keluarganya telah dilakukan dengan sempurna setelah bedah siasat selesai dijalankan pada 23 Oktober.

Menurut kenyataan Unit Sekretariat dan Perhubungan Awam Jabatan Penjara Malaysia, inkues koroner yang dijalankan mendapati tiada kecederaan lain pada anggota badan Mogana kecuali kesan jerutan pada leher.

Menurut kenyataan itu, pihak Jabatan Penjara Taiping telah mengambil beberapa tindakan mengikut prosedur yang ditetapkan iaitu memaklumkan kepada keluarga berhubung kematian yang berlaku, membuat laporan polis, memastikan inkues koroner dijalankan, menjalankan siasatan dalaman dan menyerahkan mayat kepada anggota keluarga setelah semua proses termasuk bedah siasat dilaksanakan.

"Oleh itu kenyataan yang mendakwa bahawa bedah siasat tidak dijalankan ke atas mayat Mogana adalah tidak benar," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menjelaskan bahawa pihak Jabatan tidak terlibat sama sekali dengan mana-mana syarikat keranda yang menguruskan mayat tahanan reman itu.

Dua hari lepas, A. Jagathambal,55, ibu kepada Mogana mendakwa bedah siasat tidak dilakukan atas mayat anaknya yang dilaporkan mati semasa berada dalam tahanan reman di Penjara Taiping dan mendesak pihak polis melakukan bebah siasat bagi memastikan punca kematian anaknya itu.

Jagathambal turut mempersoalkan tindakan polis dan Penjara Taiping yang mengarahkan sebuah syarikat keranda untuk menguruskan mayat anaknya serta mengatur upacara pembakaran tanpa persetujuan pihak keluarganya.

Beliau berkata, mayat anaknya itu kini ditempatkan di rumah keluarganya di Taman Meru, Ipoh dan tidak akan dibakar atau dikebumikan sehingga bedah siasat dilakukan.

Mogana yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik dan bekerja di sebuah kedai besi buruk sebelum ini ditahan oleh polis kerana kesalahan di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952, sebulan yang lalu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain