suria

Suburkan Keharmonian Kaum Menerusi Deepavali - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa mengajak seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama untuk terus menyuburkan benih-benih keharmonian yang telah disemai dengan mengunjungi rakan-rakan yang beragama Hindu serta menghulurkan salam Deepavali kepada mereka.

Timbalan Perdana Menteri berkata benih-benih keharmonian ini disuburkan lagi dengan sikap positif masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara kita yang bukan sahaja sentiasa menghormati malah turut sama memeriahkan perayaan kaum-kaum lain.

"Sesungguhnya, perayaan Deepavali yang saban tahun disambut dengan meriah oleh masyarakat Hindu di negara kita adalah manifestasi keharmonian agama yang wujud di Malaysia. Raikanlah Deepavali dengan penuh kemeriahan dan semangat muhibbah," katanya dalam perutusan Hari Deepavali pada Selasa.

Muhyiddin juga mengajak rakyat supaya manfaatkan kesempatan cuti Deepavali untuk meluangkan masa bersama keluarga dan sahabat handai yang telah banyak memberi sokongan sehingga berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi.

"Deepavali adalah hari yang paling istimewa untuk anda menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada mereka, sekaligus mempereratkan hubungan kekeluargaan dan persahabatan yang telah terjalin," katanya. Muhyiddin berkata amalan murni ini pastinya akan mewujudkan suasana yang harmoni dalam masyarakat dan membantu mewujudkan sebuah negara yang aman dan sejahtera.

"Keharmonian ini perlu sentiasa kita suburkan supaya kita kekal hidup aman dan damai dalam keluarga besar 1Malaysia. "Saya sekeluarga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada seluruh penganut agama Hindu di Malaysia," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain