suria

Singapura Atasi China Sebagai Rakan Dagang Terbesar Malaysia:Muhyiddin

SINGAPURA: Singapura telah mengatasi China sebagai rakan dagang terbesar Malaysia tahun lepas, sekali gus menandakan bagaimana perdagangan telah berkembang antara kedua-dua negara jiran, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa.

"Saya gembira untuk mengumumkan yang Singapura kini merupakan rakan dagang terbesar kita, mengatasi China, tahun lepas. Jadi, itu adalah petunjuk kukuh bagaimana perdagangan dua hala telah berkembang.

"Sudah pastinya, Singapura adalah pelabur paling penting untuk kita. Kami ada berbincang sebentar tadi mengenai meningkatkan kerjasama dua hala untuk perusahaan kecil dan sederhana (di Singapura), kemungkinan menempatkannya semula di Johor," kata beliau kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat, Teo Chee Hean.

Muhyiddin dan Teo turut membincangkan pelbagai isu termasuk pendidikan, pelancongan dan iklim ekonomi global semasa.

Muhyiddin berkata Teo ada juga menyebut mengenai krisis zon euro dan aktiviti ekonomi yang menurun di Amerika Syarikat.

"Kita bimbang dengan trend ini dan akan tengok sama ada ia akan memberi kesan kepada pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) kita untuk tahun ini dan tahun depan.

Muhyiddin berkata masih banyak lagi keadaan tidak menentu di sana (di Amerika Syarikat dan Eropah) dan "kita percaya perlunya kita bekerjasama dengan lebih rapat lagi."

"Malaysia telah mengunjurkan pertumbuhan yang sewajarnya untuk tahun ini dan tahun depan. Kita percaya meningkatkan kerjasama dengan Singapura, dengan rantau ini dan dengan negara-negara Asean, amat membantu.

"Selain daripada pelaburan langsung domestik, pelaburan asing langsung juga merupakan aspek penting yang kita perlu lihat," kata Muhyiddin yang berada di sini untuk lawatan rasmi selama dua hari.

Muhyiddin juga akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Menteri Pelajaran Singapura Heng Swee Keat tengah hari ini.

Muhyiddin juga merupakan Menteri Pelajaran Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri diiringi oleh isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin, Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Dr James Dawos Mamit dan para pegawai kanan kementerian luar.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain