suria

Malaysia, Singapura Pertingkat Kerjasama Pelancongan, Pendidikan dan Alam Sekitar

SINGAPURA: Malaysia dan Singapura sedia mempertingkatkan kerjasama dalam bidang pelancongan, pendidikan dan alam sekitar.

Komitmen ke arah itu dinyatakan oleh kedua-dua negara dalam pertemuan antara Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan rakan sejawatannya dari Singapura Teo Chee Hean sempena lawatan dua hari pemimpin Malaysia itu ke republik itu hari ini.

Dalam sidang akhbar bersama selepas pertemuan itu, Muhyiddin berkata terdapat potensi besar bagi meluaskan lagi kerjasama dalam tiga bidang berkenaan.

"Singapura telah berjaya mempromosikan dirinya sebagai sebuah destinasi pelancongan yang utama dan Malaysia juga sedang berbuat demikian, dan dalam bidang ini, kita setuju untuk bekerjasama.

"Malah, saya mencadangkan agar satu pakej diusahakan antara Singapura dan Malaysia, khususnya Johor, dalam pembangunan projek di Desaru," katanya.

Mengenai pendidikan, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata beliau telah menyatakan hasrat Malaysia untuk bekerjasama lebih rapat dengan Singapura dalam bidang pendidikan vokasional dan teknikal.

Katanya beliau akan membincangkan perkara itu secara lebih terperinci dengan pertemuannya dengan Menteri Pelajaran Singapura Heng Swee Keat.

"Singapura mempunyuai pengalaman dalam bidang ini dan terdapat beberapa modul yang kita dapat gunakan bagi memantapkan lagi sistem pendidikan vokasional di Malaysia," kata Muhyiddin.

Menurut beliau, perbincangan lanjut mengenai kerjasama antara Malaysia dan Singapura dijangka menjadi agenda pertemuan antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong di Kuala Lumpur pada Disember ini.

Teo pula berkata terdapat banyak perkara dalam bidang pendidikan, pelancongan dan alam sekitar yang boleh dilakukan secara bersama oleh kedua-dua negara.

Katanya perbincangan beliau dengan Muhyiddin merupakan satu isyarat mengenai komitmen kedua-dua negara untuk melihat hubungan dua hala menjadi lebih kukuh.

Muhyiddin, yang tiba semalam, kemudiannya melawat loji pelupusan sampah di Tuas.

Pagi tadi, beliau diberi taklimat mengenai aktiviti Lembaga Pelancongan Singapura. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain