suria

Langkah Hapuskan ISA Keputusan Bersejarah:Muhyiddin

SINGAPURA: Langkah menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah keputusan bersejarah kerana ia memerlukan kebijaksanaan dan keberanian politik, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Keputusan itu adalah satu kematangan bagi ketelusan dan kebebasan bersuara di mana ia menjadi harapan negara maju," katanya pada majlis makan malam bersama rakyat Malaysia yang menetap di sini malam tadi.

Beliau berkata keputusan Najib itu membawa kesan yang besar ke arah kemajuan Malaysia. Muhyiddin kini dalam lawatan rasmi dua hari ke republik ini.

Mengenai ekonomi, beliau berkata Malaysia perlu mencatat pertumbuhan minimun sebanyak enam peratus setahun sebelum dapat mencapai status negara maju menjelang 2020.

"Ini merupakan cabaran yang amat besar dan Singapura turut berdepan situasi sama ekoran keadaan ekonomi yang melanda beberapa negara di Eropah, Amerika dan juga Jepun.

"Rakan perdagangan utama kami menghadapi masalah dan bagi mencapai pertumbuhan ekonomi yang konsisten, kami telah melakukan beberapa langkah menerusi Belanjawan 2012.

"Insya-Allah, kita mampu mencapai sasaran itu walaupun beberapa pakar ekonomi menyatakan ia agak keterlaluan, namun saya yakin dapat mencapainya, jika kita berusaha keras," katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, menggesa ahli profesional negara yang bekerja di Singapura kembali ke tanah air dan menghulurkan kepakaran mereka kepada pembangunan negara.

Muhyiddin dijadual melakukan kunjungan hormat kepada Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan timbalannya, Teo Chee Hean serta mengadakan mesyuarat dua hala dengan Menteri Pelajaran Singapura Heng Swee Keat, hari ini.

Beliau juga dijangka mendengar taklimat Lembaga pelancongan Singapura berhubung bidang yang difokuskan serta pelan jangka panjang/strategi pembangunan sektor perkhidmatan berkaitan pelancongan di republik ini.

Muhyiddin akan melawat loji pembakaran di Tuas dan akan diberikan taklimat oleh Agensi Alam Sekitar Kebangsaan Singapura mengenai pengurusan sisa pepejal.

Timbalan Perdana Menteri diiringi isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain