suria

Komuniti India Perlu Rebut Peluang, Tingkat Taraf Hidup Untuk Maju

PUTRAJAYA: Masyarakat India di negara ini harus merebut peluang yang ada untuk meningkatkan taraf hidup dan menjadi bangsa Malaysia yang berjaya dalam semua bidang.

Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata komuniti India tidak harus berpuas hati dengan pencapaian sekarang, sebaliknya menggiatkan usaha untuk terus maju.

"Kita perlu menghapuskan kegelapan dan mengisikan dengan keceriaan, membasmi kemiskinan dengan meningkatkan ilmu pengetahuan dan menggunakan segala peluang yang ada di negara tercinta ini untuk meningkatkan kedudukan dan taraf hidup kepada tahap lebih tinggi daripada semalam," katanya dalam perutusan sempena sambutan Deepavali, di sini Selasa.

Dr Subramaniam yang juga Menteri Sumber Manusia turut meminta komuniti India, khususnya yang beragama Hindu agar mengambil peluang sambutan Deepavali untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan serta berbelanja secara berhemah.

Gunakan sambutan untuk mensucikan diri dan terjemahkan kemeriahan sambutan dengan membantu golongan kurang bernasib baik agar mereka juga dapat merasai kemeriahan itu, katanya.

Beliau turut menyeru penganut agama Hindu di negara ini agar meneruskan amalan rumah terbuka bagi meraikan sambutan Deepavali bersama seluruh rakyat Malaysia pelbagai bangsa dan agama sebagai lambang perpaduan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain