suria

KDN dan Beberapa Kementerian Lain Teliti Semula Pengeluaran Pas Pelajar Asing

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan beberapa kementerian lain sedang meneliti semula pengeluaran pas pelajar asing, terutama dari Afrika, berikutan laporan masalah yang timbul dengan kehadiran pelajar asing di negara ini.

"Keputusan penelitian ini akan dimaklumkan kemudian," kata menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2012 berkaitan kementerian itu pada sidang Dewan Rakyat, Isnin.

Beliau berkata KDN dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) membuat pemeriksaan berkala di institut pengajian tinggi awam dan swasta bagi memantau aktiviti 19,000 pelajar Afrika mulai Januari hingga September lepas.

Hishammuddin berkata tapisan khusus bagi warga Afrika dilakukan KPT serta Kementerian Pelajaran dan pelajar terbabit wajib mengemukakan dokumen 'No Objection Certificate (NOC)' yang dikeluarkan negara berkenaan.

Dokumen itu bertujuan memastikan hanya mereka yang benar-benar layak belajar di luar negeri, katanya.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin menafikan dakwaan anggota Parlimen Parit Buntar Dr Mujahid Yusof Rawa bahawa polis terlibat dalam politik ekoran terdapat satu surat arahan daripada pihak atasan.

Mengenai tindakan beberapa pihak yang mempertikai dan memperlekehkan sumbangan polis, terutama dalam kes Bukit Kepong, Hishammuddin berkata seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhak berasa marah.

"Dalam kes Mohamad Sabu ini, ia lebih berat kerana dia melabelkan anggota polis yang terkorban dalam pertempuran dengan komunis sebagai pegawai penjajah dan menafikan peranan mereka dalam kemerdekaan negara," katanya.

Mohamad Sabu, atau dikenali sebagai Mat Sabu, sebelum ini pernah membuat kenyataan kontroversi apabila menyifatkan pengganas komunis dalam tragedi Bukit Kepong sebagai wira sebenar yang memperjuangkan kemerdekaan negara. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain