suria

Jemaah Haji Malaysia Tempah 11,000 Botol 10 Liter Air Zam-Zam Setakat Ini

MEKAH: Sejak operasi penghantaran barangan bagi jemaah haji Malaysia bermula hujung bulan lepas, sebanyak 11,000 botol air zam-zam sudah ditempah jemaah untuk dihantar kepada sanak saudara di tanah air.

Ketua Unit Perkhidmatan Luar Tabung Haji Azman Adnan berkata jumlah bayaran bagi penghantaran air zam-zam yang diisi dalam botol bersaiz 10 liter setiap satu itu menjangkau SR1.3 juta (RM1.09 juta).

Penghantaran air zam-zam ke Malaysia sudah bermula sebelum Ramadan lagi dan kini jemaah di tanah suci hanya perlu mengisi borang tempahan yang disediakan empat syarikat penghantaran yang dilantik Tabung Haji, serta membuat pembayaran bagi membolehkan penghantaran ke destinasi yang dihajatkan, katanya.

Beliau yang ditemui kumpulan petugas media Tabung Haji di sini, juga berkata Tabung Haji sentiasa memantau prestasi syarikat terbabit iaitu Pos Malaysia, Nationwide Express, Syarikat Aramal Services dan Syah Cargo Forwarding bagi memastikan perkhidmatan terbaik.

"Kami nasihat para jemaah supaya gunakan perkhidmatan penghantaran barang oleh syarikat-syarikat yang disediakan ini. Dari awallagi Tabung Haji sudah maklumkan bahawa mereka tidak digalakkan untuk menggunakan syarikat penghantaran yang lain kerana ia kurang terjamin," katanya.

Azman berkata jemaah juga diingatkan bahawa air zam-zam tidak boleh dihantar ke tanah air menggunakan kotak bagasi biasa, selain mereka akan dibekal dengan air zam-zam sebanyak lima liter sebaik tiba di lapangan terbang di tanah air nanti.

Sementara itu, daripada segi muatan barang jemaah pula, Azman berkata sehingga kini 160 tan barang sudah dihantar pulang ke tanah air oleh syarikat penghantaran dengan jumlah pembayaran menjangkau SR3.5 juta (RM2.93 juta).

Syarikat terbabit juga diingatkan agar memaklumkan kepada pelanggan tarikh penting berkaitan operasi termasuk hari mereka menghentikan operasi sebelum hari wukuf serta hari terakhir mereka beroperasi di tanah suci. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain