suria

Honda Hentikan Pengeluaran Kilang Pagoh Kerana Banjir Di Thailand

KUALA LUMPUR: Honda Malaysia Sdn Bhd akan menghentikan buat sementara waktu pengeluaran di kilangnya di Pagoh, Melaka, berikutan kekurangan komponen disebabkan oleh banjir di Thailand.

Dalam satu kenyataan di sini, Honda berkata banjir itu telah menyebabkan kilang-kilang dalam rantaian bekalan ditutup, termasuklah Honda Automobile (Thailand) Co Ltd dan pembekal utama lain yang membekalkan komponen kepada Honda Malaysia.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutifnya, Yoichiro Ueno berkata, syarikat itu akan melakukan segala yang boleh untuk memulihkan kembali pengeluaran di Malaysia secepat mungkin.

"Kami memohon maaf kerana kelewatan penghantaran dan kami menghargai pelanggan-pelanggan kami yang memahaminya. Kami melakukan apa yang boleh dilakukan dalam kapasiti kami untuk memulihkan kembali pengeluaran di Malaysia secepat mungkin," kata beliau.

Beliau berkata berita gembira adalah model siap bina seperti Insight, Stream dan Freed, tidak terjejas, kecuali untuk Jazz yang diimport dari Thailand, di mana syarikat mempunyai stok yang mencukupi untuk memenuhi permintaan pasaran semasa.

Menurut kenyataan itu, syarikat secara aktif meninjau keadaan dan pemulihan pembekal komponen.

"Honda Malaysia kini sedang mengkaji kemungkinan mendapatkan sumber komponen dari negara-negara lain sehingga pengeluaran pembekal di Thailand kembali normal," katanya.

Menurut syarikat itu, Honda Malaysia akan memastikan pelanggan dimaklumkan mengenai perkembangan situasi di kilang dan berharap untuk memberi berita baik kepada pelanggan.

Asian Honda Motor Co Ltd, baru-baru ini menyumbangkan 100 juta baht (RM10 juta) kepada Persatuan Palang Merah Thai untuk membantu mangsa-mangsa banjir di Thailand, katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain