suria

DVD dan VCD Cetak Rompak Bernilai RM80,000 Dirampas

SHAH ALAM: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Selangor merampas 10,000 cakera padat digital (VCD) dan cakera video digital (DVD) cetak rompak filem tempatan dan antarabangsa bernilai RM80,000 dalam satu serbuan di satu premis di Subang Jaya semalam.

Ketua Penguatkuasa PPDNKK negeri Othman Nawang berkata pihaknya mendapat maklumat mengenai premis, yang dijadikan stor menyimpan VCD dan DVD cetak rompak daripada orang awam, dan membuat risikan selama dua minggu sebelum menyerbunya semalam.

"Risikan awal kita berpandangan ia ada kaitan dengan bekalan VCD dan DVD cetak rompak pada kedai-kedai di kawasan berdekatan dan kes ini disiasat di bawah Akta Hak Cipta 1987," katanya pada sidang akhbar di sini, Isnin.

Othman berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi mengesan penyewa premis berkenaan untuk menjejaki mereka yang menjadi dalang pembekalan VCD dan DVD cetak rompak itu.

"Kita juga sedang melipat gandakan usaha bagi menjejak markas pembuatan VCD dan DVD cetak rompak ini dan memerlukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat mengenainya.

Sehingga hari ini, PPDNKK Selangor telah mengambil tindakan terhadap 162 kes mengikut Akta Hak Cipta 1987 dengan nilai rampasan kira-kira RM2 juta manakala 286 kes bernilai RM1.5 juta diambil tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 1972, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain