suria

Sultan Pahang Yakin Pendekatan Najib Bawa Kesejahteraa Pada Rakyat

PEKAN: Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah yakin falsafah dan pendekatan diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mampu membawa kesejahteraan kepada rakyat dan negara ini.

Titah baginda pendekatan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan; Program Transformasi Kerajaan, Ekonomi dan Politik; Model Baru Ekonomi serta Dasar Transformasi Nasional dalam pentadbiran negara akan membawa kebaikan kepada rakyat.

"Beta percaya dan yakin falsafah dan pendekatan ini adalah sangat baik untuk rakyat dan negara. Beta berdoa supaya hasrat Perdana Menteri untuk mengurus dan terus memajukan negara akan tercapai," titah baginda pada Istiadat Pengurniaan Darjah-darjah Kebesaran negeri Pahang sempena ulang tahun hari keputeraan ke-81 baginda di Istana Abu Bakar, di sini, Isnin.

Turut berangkat pada istiadat itu ialah Sultanah Pahang Sultanah Kalsom, Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama Perdana Menteri dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob. Titah Sultan Ahmad Shah pembentangan Belanjawan 2012 baru-baru ini juga selari dengan pendekatan tersebut yang memberikan faedah kepada semua golongan dan diharap dapat menangani masalah kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat, khususnya golongan berpendapatan rendah.

Baginda juga berharap keamanan, kestabilan politik dan hubungan antara agama dan kaum di negara ini, khususnya di Pahang akan terus terpelihara.

"Beta sukacita melihat rakyat hidup harmoni dan bersatu padu. Agama Islam pula perlu terus disuburkan dengan kaedah bersesuaian mengikut perkembangan dunia semasa yang bersifat global, manakala rakyat yang bukan beragama Islam juga berhak mengamalkan agama masing-masing tanpa diganggu atau mengganggu sesiapapun," titah Sultan Pahang.

Pada istiadat itu, seramai 66 individu menerima darjah kebesaran masing-masing didahului Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee Heung yang dikurniakan darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran "Datuk Seri".

Sementara itu, Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia Paul W.Jones yang dianugerahkan darjah Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) Kehormat yang membawa gelaran "Datuk" ketika ditemui, melahirkan rasa rendah diri dan berbesar hati dengan anugerah tersebut.

Beliau yang berbaju Melayu berkata pengurniaan darjah itu juga menggambarkan hubungan baik antara Amerika Syarikat dan Malaysia khususnya dengan negeri Pahang.

"Ini kali pertama saya memakai baju Melayu dan saya menyukainya...saya dibenarkan memakai sut namun saya memilih untuk berbaju Melayu," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain