suria

Siri Realiti TV Baru Akan Ke Udara

KUALA LUMPUR: Imagine Group Pte Ltd, penerbit siri realiti televisyen utama Asia, membelanjakan RM5 hingga RM7 juta untuk menghasilkan siri realiti terbaru, Do-It-Yourself, The Apartment.

Presiden dan pengasasnya, Riaz Mehta berkata, siri itu dijangka menarik 200 juta penonton di 22 negara termasuk Malaysia.

"Kami menjangka beberapa juta orang akan menontonnya, terutama rakyat Malaysia," katanya kepada pemberita selepas tayangan perdana episod pertama di sini, Isnin.

Beliau berkata, The Apartment merupakan siri yang mesti ditonton kerana ia merupakan siri TV hiasan dalaman yang seumpamanya di Asia.

Siri berkenaan bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga penuh maklumat kerana mengajar penonton konsep reka bentuk dan bagaimana untuk melakukannya sendiri.

Tidak seperti siri menghias yang biasa, The Apartment menampilkan pertarungan antara tiga pasukan yang ditugaskan untuk menghias penthouse baru setiap satu pasukan dalam masa yang terhad untuk berpeluang memenangi kondominium Sime Darby Property di Kuala Lumpur bernilai RM530,500.

Hartanah yang dihias oleh para peserta akan disenaraikan di iproperty dan dijual pada akhir siri lapan episod.

Penaja korporat yang lain termasuk ICI Dulux, Telekom Malaysia Bhd, Viva Mall Sdn Bhd dan iproperty Group, disokong oleh Signature Kitchen, Haus Living Concepts, Lightmakers dan Goodrich Wallpaper. -BERNAMA

Artikel Lain