suria

Peningkatan Hutang Negara Masih Terkawal - Ketua Audit Negara

KUALA LUMPUR: Peningkatan jumlah hutang negara yang tinggi pada 2010 masih berada pada had yang boleh diterima serta tidak membimbangkan.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang berkata, berdasarkan peratusan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada akhir tahun lalu, peningkatan berkenaan bukan sesuatu yang serius kerana pinjaman yang dibuat bertujuan untuk projek pembangunan.

"Memang ada peningkatan jumlah hutang, tapi pinjaman kerajaan itu dibuat untuk projek pembangunan.

"Dari segi dasar, kerajaan tidak meminjam untuk biaya kos operasi seperti membayar gaji kerana ia dibuat menggunakan hasil cukai dan dana lain," katanya kepada pemberita ketika ditemui di bangunan Parlimen di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai laporan jumlah hutang negara pada 2010 yang berjumlah RM407.1 bilion iaitu menyaksikan peningkatan daripada RM362.39 pada 2009.

Menurut laporan Ketua Audit Negara 2010 juga, nisbah hutang Kerajaan Persekutuan kepada KDNK pada akhir tahun lalu adalah 53.1 peratus iaitu melebihi 50 peratus dalam tempoh dua tahun berturut-turut.

Mengulas lanjut Ambrin berkata, jumlah KDNK pada 2010 perlu dilihat seiiring dengan peningkatan pinjaman negara.

"Bila kita tengok peratusan tersebut (hutang), kita perlu lihat juga KDNK. Pada saya secara keseluruhannya ia tidak ada masalah.

"Kalau bercakap soal hutang, orang berniaga pun ada hutang. Asalkan ada keupayaan untuk bayar balik pinjaman, tak ada masalah," katanya.

Artikel Lain