suria

Pengurusan Kewangan Kerajaan Catat Prestasi Lebih Baik - Jabatan Audit

KUALA LUMPUR: Pengurusan kewangan agensi kerajaan pada tahun 2010 telah mencatat prestasi yang lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

Mengikut Jabatan Audit Negara (JAN) sebanyak 357 agensi kerajaan telah dinilai pada tahun 2010 dan 77 buah (21 peratus) daripadanya mendapat penarafan 'Sangat Baik', berbanding 48 buah (12 peratus) daripada 399 agensi yang diaudit pada tahun 2009 yang mendapat penarafan tertinggi empat bintang itu.

"Pencapaian yang ketara ini menunjukkan pelaksanaan indeks akauntabiliti (IA) telah memberi dorongan kepada Ketua Jabatan/Agensi untuk memberi lebih perhatian kepada pengurusan kewangan," kata JAN dalam kenyataan pada Isnin.

Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2010 diedar kepada anggota Parlimen di Dewan Rakyat pada Isnin. Jabatan Audit Negara telah melaksanakan sistem penarafan yang berasaskan kepada Indeks Akauntabiliti (IA) pada tahun 2007 yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu Kategori Wajib dan Kategori Giliran, untuk menilai sejauh mana pengurusan kewangan kerajaan dan agensi-agensinya telah mematuhi undang-undang dan peraturan kewangan kerajaan.

Mengikut kenyataan itu, berdasarkan kepada pengauditan terhadap 453 Penyata Kewangan tahun 2010 terhadap kerajaan dan agensi kerajaan yng perlu disahkan, sebanyak 368 penyata telah diberikan Sijil Audit Tanpa Teguran.

Tiga puluh tiga lagi penyata kewangan telah diberikan Sijil Audit Berteguran kerana terdapat beberapa piawaian perakaunan yang tidak dipatuhi sepenuhnya, manakala 52 penyata kewangan belum dikeluarkan Sijil Audit.

Berbanding tahun 2009, sebanyak 357 penyata kewangan telah diberikan Sijil Audit Tanpa Teguran dan 25 penyata kewangan diberi Sijil Audit Berteguran. -BERNAMA

Artikel Lain