suria

Pengabaian Warga Emas Membimbangkan - Azizah

SANDAKAN: Tahap pengabaian warga emas di kalangan keluarga dan masyarakat sekarang meningkat dan membimbangkan, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Azizah Mohd Dun.

Menurut beliau, ini merupakan cabaran sosial yang sedang melanda dalam sistem kekeluargaan, dengan kecenderongan anak-anak suka menghantar ibu bapa mereka yang tua ke institusi warga emas untuk dipelihara merisaukan.

"Dalam meniti arus pembangunan dengan masyarakat berlumba-lumba menaikkan taraf kehidupan masing-masing, janganlah pula tanggungjawab kita sebagai anak diabaikan. "Kecenderongan ini akan menghakis semangat kekeluargaan yang diwarisi sejak dahulu dan ia boleh dielakkan dengan anak-anak muda ditananamkan semangat kekeluargaan yang utuh," katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Warga Emas peringkat negeri di sini, Isnin.

Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah Datuk R. M. Jasni menjadi tetamu kehormat pada majlis itu.

Azizah berkata kerajaan memberi perhatian membela nasib warga emas yang terabai dengan mewujudkan tiga institusi penjagaan di negeri ini iaitu Rumah Wargatua Sri Pritchard di Kinarut, sebuah di Air Panas Tawau dan Rumah Sri Harapan Sandakan.

Katanya bantuan kewangan juga diberikan kepada warga emas yang tidak mampu menerusi Skim Bantuan Orang Tua.

Menurutnya, mengikut statistik Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah, sehingga bulan Oktober ini jumlah penerima skim itu seramai 39,946 orang dengan jumlah perbelanjaan RM11.9 juta.

Beliau berkata melalui pembentangan belanjawan 2012, warga emas juga diberi hak istimewa iaitu mereka berumur 60 tahun ke atas dikecualikan caj pendaftaran pesakit luar di semua hospital dan klinik kesihatan. -BERNAMA

Artikel Lain