suria

Pelatih Pusat Pemulihan Hilang Sejak 11 Hari

JITRA: Seorang pelatih lelaki di sebuah pusat pemulihan dadah dan akhlak di Jalan Wang Tepus dekat sini dipercayai hilang selepas melarikan diri dari pusat itu 11 hari lepas.

Mohd Ridhwan Khan Jumakahn, 30, dari Negeri Sembilan dipercayai melarikan diri kerana mengalami tekanan selepas tinggal di pusat itu sejak Mei lepas.

Pengetua pusat pemulihan, Mohd Muzni Mohd Noor berkata pihaknya menyedari kehilangan Mohd Ridhwan kira-kira pukul 5 pagi 14 Okt lalu ketika mengejutkan semua pelatih untuk melakukan solat Subuh berjemaah.

"Sejak mengetahui Ridhwan hilang, kami telah mencarinya di merata tempat termasuklah di Pokok Sena, Kuala Nerang dan Alor Setar. Kami juga telah membuat laporan polis," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Beliau berkata pihaknya turut menerima panggilan telefon daripada orang awam yang menemui pelatih berkenaan di kawasan Bukit Tembaga, Pokok Sena, tetapi dia melarikan diri ke kawasan hutan. "Mohd Ridhwan meninggalkan pusat itu sehelai sepinggang. Kali terakhir kami melihatnya dia hanya memakai kemeja-T berwarna biru gelap dan berseluar sukan biru," kata Mohd Muzni. Beliau berkata pihaknya yakin pelatih itu memanjat pagar pusat pemulihan sebelum melarikan diri dan pelatih itu pernah dua kali cuba melarikan diri tetapi berjaya ditahan semula oleh polis. Sesiapa yang terjumpa atau mempunyai sebarang maklumat mengenai Mohd Ridhwan boleh menghubungi Mohd Muzni di talian 013-4230243, 04-9173014 atau pegawai pusat berkenaan, Mohd Fitri Ramizan di talian 019-5503093.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Ibrahim Mohamed Yusof mengesahkan menerima laporan kes terbabit. -BERNAMA

Artikel Lain