suria

Malbatt 4 Berlepas Ke Lebanon Hari Ini

PETALING JAYA: Seramai 212 anggota dari Kumpulan Kedua Pasukan Batalion Malaysia 4 (Malbatt 4) berangkat ke Lebanon, Isnin bagi menjalankan misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unifil) selama 12 bulan.

Panglima Angkatan Bersama Laksamana Madya Datuk Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badarudin berkata Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus diberi mandat oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam memastikan keamanan di Lebanon sentiasa terpelihara.

"Saya percaya dengan atur gerak Malbatt 4 ini boleh dijadikan sebagai satu isyarat bahawa masyarakat antarabangsa menaruh harapan terhadap keupayaan, kredibiliti dan profesionalisme ATM.

"Pemergian Malbatt 4 hari ini membawa harapan besar negara dan ATM. Dalam konteks peperangan moden, penerimaan masyarakat di sesuatu penempatan operasi adalah penting kerana ia mampu mengekalkan kesinambungan pelaksanaan operasi ketenteraan seterusnya," katanya berucap pada Majlis Penghantaran Malbatt 4 ke Lebanon di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia Subang, dekat sini.

Katanya, kumpulan kedua itu terdiri daripada 11 pegawai dan 201 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) termasuk lapan anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dengan diketuai oleh Left Kolonel E.D Mustafa Bakar.

Sementara itu, Kapten Dr Zarina Zakiah Zainuddin, 27, berkata peluang menyertai misi di bawah panji PBB itu merupakan peluang yang sememangnya ditunggu-tunggu.

"Saya memang bercita-cita untuk mengikuti misi keamanan seperti ini dan ingin merasai pengalaman dan cabaran yang bakal menanti saya di sana.

"Berfikiran positif dan sokongan dari ahli keluarga menjadi penguat untuk saya bertugas di bumi Lubnan nanti," katanya yang pertama kali mengikuti misi sedemikian. Bagi Koperal Aiman Farhan Abdullah, 29, pula beliau berasa bertuah kerana terpilih menyertai misi itu.

"Sebagai persediaan kami telah menjalani latihan tiga bulan di pusat latihan Malbatt di Port Dickson, Negeri Sembilan yang telah memberikan saya keyakinan bagi menggalas tanggungjawab ini di Lebanon," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain