suria

Kastam Sabah Gagalkan Cubaan Seludup Beras Wangi

KOTA KINABALU: Kastam Sabah berjaya menggagalkan cubaan menyeludup beras wangi bernilai RM300,000 ke Sabah, dipercayai dari Vietnam, pada 18 Oktober lepas.

Timbalan Pengarah Kastam Diraja Malaysia Negeri Hamzah Sundang berkata sebanyak lima kontena berisi 130 tan metrik beras membabitkan 5,200 karung dibawa masuk menerusi Singapura, sebelum dirampas di Pelabuhan Sabah.

"Selain tidak memiliki daftar cukai terhadap beras yang dirampas itu, tidak ada pihak yang mengaku barang tersebut milik mereka dan hanya terdapat surat penghantaran oleh agen perkapalan," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Beliau berkata rampasan itu merupakan yang pertama di Sabah tahun ini membabitkan nilai tinggi.

Katanya, urusan mengimport beras memerlukan lesen yang dikeluarkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, dan hanya Padiberas Nasional Bhd (Bernas) diberi kelulusan berbuat demikian. -BERNAMA

Artikel Lain