suria

Demo: Umno Fail Saman Malu Terhadap Guan Eng

KUALA LUMPUR: Umno Pulau Pinang pada Isnin, memfailkan saman malu bagi menuntut ganti rugi bernilai RM30 juta terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan tiga yang lain berhubung dakwaan demonstrasi ganas di negeri tersebut, tiga bulan lalu.

Saman tersebut difailkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Zainal Abidin Osman, 51, di Mahkamah Tinggi di sini menerusi peguam Datuk Jaharbedeen Mohamed Yunoos.

Jaharbedeen memberitahu, saman terhadap Guan Eng dibuat secara peribadi dan bukannya atas kapasiti beliau sebagai Ketua Menteri.

"Anak guam saya menghormati jawatan Ketua Menteri, oleh itu saman tersebut hanya dibuat secara peribadi," kata Jaharbedeen semasa ditemui.

Selain Guan Eng, Zainal Abidin selaku plaintif turut menamakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai defendan kedua diikuti syarikat yang menjalankan operasi berita rasmi PKR, Segment Fleksibel Sdn Bhd dan Ketua Penyunting akhbar Suara Keadilan, Fazallah Pit.

Berdasarkan pernyataan tuntutannya, plaintif mendakwa Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP itu telah mengeluarkan suatu kenyataan kepada editorial beberapa syarikat akhbar dengan menuduh plaintif telah menganjurkan demostrasi di bangunan Komtar dan di Jambatan Pulau Pinang pada 1 Julai lalu.

Demonstrasi tersebut didakwa telah menghalang laluan trafik di Jambatan Pulau Pinang dan menyebabkan kesesakan trafik sejauh 10 kilometer, selain beberapa cermin kereta dipecahkan dan dua wartawan mengalami kecederaan.

Dakwa plaintif lagi, kenyataan Guan Eng itu telah diterbitkan di http://limguaneng.com pada pukul 10.34 pagi, 3 Julai lalu dan telah diterbitkan dalam laman berita elektronik Keadian Daily serta akbhar edisi bertarikh 5 Julai lalu.

Plaintif seterusnya mendakwa, kenyataan bertajuk 'Nafi terlibat demo ganas, Pengerusi Umno Pulau Pinang berbohong - Guan Eng' boleh dilayari oleh individu-individu daripada segenap lapisan masyarakat di dalam dan luar negara.

Plaintif juga mendakwa, kenyataan Guan Eng membawa maksud bahawa plaintif adalah parti yang tidak beretika kerana menyokong perbuatan dan pelakuan yang menjurus kepada keganasan.

Dakwanya lagi, kenyataan tersebut juga membawa maksud plaintif sebuah perti yang tidak boleh dipercayai, telah melakukan kesalahan jenayah dan harus diambil tindakan undang-undang serta tidak menghormati dan memperlekehkan sistem demokrasi negara ini.

Plaintif juga mendakwa, kenyataan Guan Eng juga bermaksud plantif terlibat dalam kegiatan-kegiatan untuk menggulingkan beliau, tidak menghormati peranan wartawan serta menyusahkan pengundi dengan mewujudkan kesesakan lalu lintas yang dahsyat.

Justeru itu, plaitif menuntut ganti rugi RM30 juta itu kerana kenyataan oleh Guan Eng yang juga telah dilaporkan media lain, selain turut memohon faedah pada kadar lapan peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh penyelesaian penuh.

Plaintif juga menuntut kos tindakan dan lain-lain relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Selain itu, plaintif juga memohon perintah injunksi bagi menghalang defendan daripada terus mengeluarkan atau menyiarkan kenyetaan-kenyataan menyinggung atau perkataan lain yang mempunyai kesan memfitnah.

Artikel Lain