suria

Bekas Pengarah Syarikat Petroleum Bebas 205 Tuduhan

KUALA LUMPUR: Selepas tiga tahun dipertuduhkan, seorang bekas pengarah syarikat petroleum boleh menarik nafas lega apabila Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, melepas dan membebaskan beliau daripada semua 205 tuduhan yang dihadapinya.

Hakim Asmadi Hussin membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan gagal untuk membuktikan prima facie terhadap tuduhan yang dihadapi oleh Lee Ee Teong.

Lee, 49, sebelum ini berhadapan dengan tiga tuduhan melakukan pecah amanah berjumlah RM13 juta dan 202 tuduhan melakukan pengubahan wang haram membabitkan nilai RM21.8 juta.

Pada penghakimannya, Asmadi berkata, Lee yang didakwa untuk kali pertama pada 3 September 2008 tidak boleh dikatakan telah melakukan pecah amanah kerana terdapat keterangan yang menunjukkan bahawa beliau telah menggunakan wang tersebut untuk membuat bayaran tanpa rekod bagi pihak syarikat.

Perbicaraan melibatkan 16 saksi pendakwaan.

Lee didakwa melakukan tiga kesalahan pecah amanah itu yang melibatkan jumlah antara RM1,020,200, RM9,612,610 dan RM3,045,010. di syarikat BJ Oilwell Sdn Bhd, D-8-2 Megan Avenue 1, 189, Jalan Tun Razak, di sini, antara 9 November 1999 dan 3 September 2001.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hamidi Mohd Noh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Selain itu, Lee juga menghadapi 202 tuduhan melakukan pengubahan wang haram di tiga tempat berbeza iaitu di sini, Johor dan Pulau Pinang dan bagi kesalahan itu, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Hazril Harun.

Pada prosiding itu, Lee diwakili oleh peguam Datuk V. Sithambaran.

Artikel Lain