suria

Audit 2010: PAC Mahu Penjelasan Daripada 7 Kementerian Dan Agensi

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mempertimbang untuk memanggil sekurang-kurangnya tujuh kementerian dan agensi kerajaan bagi memberi penjelasan berhubung kelemahan pentadbiran kewangan masing-masing seperti yang dicadangkan Jabatan Audit Negara.

Pengerusi PAC, Datuk Seri Azmi Khalid berkata, perkara yang akan diberi perhatian ialah berhubung kelemahan berulang sistem pengurusan yang dilakukan kementerian atau agensi berkenaan.

"PAC akan berbincang semula untuk menentukan jabatan atau kementerian mana yang perlu kita panggil untuk dapatkan penjelasan daripada kelemahan yang ditimbulkan.

"Antaranya kita dapati masih wujud kelemahan yang berulang. Kita ambil perhatian kerana kita perlu lihat dengan lebih mendalam bagaimana untuk kita kurangkan kes-kes yang berulang walaupun ditegur setiap tahun oleh Jabatan Audit," katanya pada sidang media selepas taklimat oleh Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang di bangunan Parlimen di sini, Isnin.

Tujuh kementerian dan agensi yang akan dipanggil memberi penjelasan berhubung perkara tersebut ialah Terminal Makan Negara (TEMAN) di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Kesihatan, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Perbadanan Stadium Nasional.

Selain itu Azmi berkata, secara keseluruhan prestasi pentadbiran kewangan dan pengurusan dalam kerajaan bertambah baik berbanding tahun terdahulu.

"Sebanyak 43 kementerian dan agensi termasuk di peringkat negeri mendapat penilaian empat bintang, 60 kementerian dan jabatan mendapat tiga bintang dan dua kementerian mendapat dua bintang.

"Tak ada satu pun kementerian atau jabatan yang dapat bintang merah iaitu di bawah 49 peratus," katanya.

Artikel Lain