suria

Audit 2010: Kerajaan Bayar Pampasan RM2.38 Bilion

KUALA LUMPUR: Pampasan berjumlah RM2.38 bilion telah dikemukakan terhadap 12 kementerian dan Jabatan Perdana Menteri dalam tempoh lima tahun sehingga akhir tahun lalu.

Laporan Ketua Audit Negara 2010 menyatakan jumlah keseluruhan tuntutan ganti rugi tersebut adalah berdasarkan 42 permohonan.

Sehingga akhir tahun lalu, sebanyak 16 tuntutan pampasan berjumlah RM666.98 juta melibatkan sembilan kementerian telahpun diluluskan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 91.5 peratus atau RM610.56 juta telah dibayar kepada kontraktor yang berkaitan.

Jumlah berkenaan adalah termasuk dua tuntutan yang dibuat sejak 1997 dan 2005 iaitu bagi projek membina sekolah di Felda Palong 8 di Negeri Sembilan berjumlah RM1.01 juta dan tuntutan berjumlah RM4.56 juta bagi projek membina jalan raya menghubungkan laluan Durian Tunggal-Paya Rumput-Sungai Udang Melaka.

Berhubung bayaran pendahuluan kepada kontraktor, laporan audit itu menyatakan bahawa jumlah berkenaan menurun sebanyak RM465.44 juta pada 2010 iaitu RM1.28 bilion.

Pada 2009, jumlah wang pendahuluan yang dibayar kepada kontraktor adalah sebanyak RM1.75 bilion.

Bagaimanapun analisis audit terhadap baki wang pendahuluan kepada kontraktor bagi 2010 mendapati sejumlah RM62.20 juta masih belum dikutip daripada 23 syarikat walaupun projek berkenaan telah ditamatkan, terbengkalai atau tahap kerja mencapai lebih 75 peratus siap.

Artikel Lain