suria

Kerajaan Luluskan Pembinaan Dua Sekolah Cina Di Kajang

KAJANG: Kerajaan telah meluluskan dua lagi tapak dengan setiap satu bersaiz 2.02 hektar untuk pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Kajang Utama dan Sungai Long, dekat sini, demikian diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Selain itu, beliau turut meluluskan peruntukan RM3.5 juta untuk pembinaan dua blok baru SJKC Sungai Chua di sini bagi menampung bilangan pelajar yang semakin meningkat.

"Ini menunjukkan usaha Barisan Nasional (BN) dalam soal pembangunan pendidikan adalah usaha yang bersungguh-sungguh. Kita mahu anak-anak kita berjaya tanpa mengira bangsa," kata Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, dalam ucapan sempena lawatannya ke SJKC Sungai Chua, di sini, Sabtu.

Turut hadir isteri beliau Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar, yang juga Timbalan Pengerusi B NSelangor, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Donald Lim Siang Chai yang juga Pengerusi MCA Selangor.

Dalam sidang media selepas lawatan itu, Dr Chua berkata kerajaan juga akan memberi peruntukan sebanyak RM4.5 juta setiap sekolah bagi mendirikan dua buah sekolah itu.

"Ini bermakna kerajaan akan memberikan tanah dan peruntukan untuk pembinaan dua buah sekolah di kawasan yang pesat berkembang ini dan ia dijangka akan memulakan pembinaan dalam masa terdekat," katanya.

Muhyiddin pada majlis sama turut menyampaikan sumbangan kepada warga emas dan anak yatim sempena sambutan perayaan Deepavali Rabu ini. -BERNAMA

Artikel Lain