suria

Himpunan Sejuta Umat Bermula, Ada Pihak Edar Risalah Provokasi

SHAH ALAM: Stadium Shah Alam mula dipenuhi oleh ribuan peserta yang menyertai Himpunan Sejuta Umat (Himpun).

‎​Kebanyakan mereka terdiri daripada ahli-ahli pertubuhan bukan kerajaaan (NGO) seperti Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) dan Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) sekitar penduduk sekitar Selangor.

Dianggarkan kira-kira empat ribu peserta menyertai Himpunan tersebut dan jumlah tersebut dijangka bertambah dari semasa ke semasa.

Antara pemimpin yang turut serta dalam perhimpunan berkenaan, ialah Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, Exco Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Hasan Ali, Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali dan bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Beberapa kumpulan nasyid popular seperti In Team dan Rabbani turut membuat persembahan di awal majlis berkenaan.

Di dalam stadium pula, beberapa kain rentang turut dipasang, antaranya tertulis Pertahankan Institusi Raja, Hidup Melayu Hidup Islam, Melayu Sepakat Islam Berdaulat.

Bagaimanapun, perhimpunan aman berkenaan bertukar kecoh apabila ada kumpulan yang tidak bertanggungjawab mengedar risalah berunsur provokasi dengan tulisan. 'Siapa bertanggungjawab Kristiankan Melayu di Selangor?'

Berang dengan tindakan berkenaan beberapa peserta dilihat membakar risalah berkenaan.

Sementara itu, pengerusi majlis Badrul Sani Baharuddin turut menegur tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab mengedarkan risalah provokasi berkenaan.

"Ini adalah perhimpunan yang aman. Tolong jangan resahkan perhimpunan ini.

"Siapa yang jumpa orang yang edar risalah itu, tangkap dan bawa kepada polis," katanya ketika membuat pengumuman di Stadium Shah Alam.

Pada masa yang sama, tabung Himpun turut diedarkan kepada hadirin untuk mengumpul sumbangan bagi penganjuran aktiviti himpun di masa akan datang.

Perhimpunan Sejuta Umat dianjurkan dengan kerjasama beberapa NGO Islam di negara ini.

Ia diadakan bertujuan mengajak umat Islam berhimpun bagi menolak murtad serta menyeru mereka agar tidak melayan tanggapan negatif mengenai Islam.

Program yang bermula pada pukul 2 petang Sabtu dijangka berakhir pada pukul 6 petang.

Artikel Lain