suria

Teraju Berhasrat Tambah Syarikat PKS Bumi

KUALA LUMPUR: Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) tidak menolak kemungkinan untuk menambahkan bilangan syarikat Bumiputera yang boleh menyertai Program Perusahaan Kecil dan Sederhana Berprestasi Tinggi (Teras) di masa akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Husni Salleh berkata, pihaknya bersedia untuk menambahkan bilangan tersebut daripada 1,100 sekarang sekiranya terdapat banyak permintaan daripada syarikat-syarikat dan objektif untuk melahirkan syarikat-syarikat Bumiputera berdaya-saing berjaya dicapai.

Menurutnya, penetapan jumlah 1,100 syarikat-syarikat Bumiputera yang dipilih untuk menyertai Program Teras ketika ini bukan satu angka tetap tetapi sebaliknya digunakan sebagai ukuran untuk memantau prestasi syarikat-syarikat terbabit untuk tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

"Dalam dua hingga tiga tahun akan datang, akan ada syarikat-syarikat Bumiputera yang akan keluar daripada Program Teras dengan kesudahan positif. Begitu juga ada kemungkinan syarikat-syarikat tertentu yang mungkin dikeluarkan dari program terbabit kerana gagal mencapai sasaran yang ditetapkan.

"Langkah ini bertujuan memberikan pedoman kepada syarikat-syarikat Bumiputera agar mempertingkatkan daya-saing mereka. Kita mahu menjadikan syarikat-syarikat terbabit mampu bersaing di luar negara."

Beliau berkata demikian ketika ditemuramah dalam Program Kerusi Panas, terbitan Bernama Radio24, semalam.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain