suria

Sultan Pahang Mahu Masjid Diimarah Dengan Lebih Sistematik

PEKAN: Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah menitahkan setiap pegawai pentadbiran dan ahli jawatankuasa masjid menekankan beberapa aspek penting bagi tujuan mengimarahkan lagi rumah ibadat itu secara lebih bersistematik.

Titah baginda, masjid merupakan medan institusi keilmuan serta panduan untuk umat Islam mendapatkan ilmu.

Selain itu, masjid juga merupakan tempat untuk umat Islam mengeratkan lagi silaturahim tanpa mengira status seseorang mahupun fahaman parti politik.

"Bagi tujuan itu, pegawai dan ahli jawatankuasa perlu menyusun struktur kerja masjid untuk dijadikan sebagai sebuah pusat pentadbiran dan tanggungjawab ini terletak pada pegawai dan ahli jawatankuasa kerja masjid yang dinamik dan berkaliber," titah baginda pada majlis tahlil dan doa selamat serta perasmian Masjid Sultan Ahmad Shah Al-Haj bernilai RM14.4 juta di sini malam Khamis. Sultan Ahmad Shah bertitah setiap pegawai dan ahli jawatankuasa masjid juga perlu mempunyai pengetahuan luas tentang Islam serta wawasan bagi membantu mereka yang mempunyai masalah tentang agama. "Mereka perlu kreatif menggerakkan aktiviti berunsurkan keagamaan seperti ceramah, forum dan dialog umum serta program lain yang dapat mengembangkan lagi peranan masjid dalam usaha memperkukuhkan lagi akidah umat Islam," titahnya.

Sehubungan itu, baginda turut meminta Jabatan Agama Islam setiap negeri memantau pembangunan serta kemajuan masjid bagi mengelakkan ia disalah guna individu atau kumpulan tertentu yang bertujuan mencorak pemikiran umat Islam ke arah persepsi negatif.

Turut berangkat ke majlis itu adalah Sultanah Pahang Sultanah Kalsom, Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain