Polis Ampang Tahan Lima Anggota Geng "Din Komando" - Semasa | mStar

Polis Ampang Tahan Lima Anggota Geng "Din Komando"

KUALA LUMPUR: Polis Ampang menahan lima orang termasuk dua wanita disyaki anggota geng 'Din Komando' yang aktif melakukan samun di Lembah Klang sejak tahun lepas, di sebuah hotel di sini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata mereka yang berumur antara 20 dan 30 tahun itu ditahan kira-kira 11.45 pagi pada Isnin lepas, susulan maklumat awam.

Kumpulan ini yang masih aktif sekalipun ketua mereka telah ditangkap tahun lepas dipercayai terbabit dalam sekurang-kurangnya enam kes samun, katanya pada sidang media, di sini Jumaat.

Mengulas tangkapan itu, Amiruddin berkata polis terlebih dahulu menangkap dua wanita tersebut yang berada di dalam sebuah bilik di hotel terbabit, diikuti seorang lelaki yang datang ke bilik berkenaan.

"Hasil pemeriksaan di dalam bilik kita menemui beberapa barang bukan milik mereka iaitu pelbagai telefon bimbit, jam tangan, beg tangan wanita, kad sim dan pemain cakera padat digital," katanya.

Beliau berkata susulan penahanan itu, polis menahan dua lagi suspek di dalam kereta Proton Wira di pekarangan hotel berkenaan dan merampas beberapa telefon bimbit, jam tangan, serangkai kunci kereta, sebilah parang, pisau kecil dan gari.

"Hasil tangkapan itu juga membawa kepada penemuan sebuah lagi kereta iaitu jenis Suzuki Swift yang berada di kawasan hotel itu dan di dalamnya terdapat pelbagai jenis telefon bimbit," katanya.

Beliau berkata kesemua barang rampasan itu bernilai kira-kira RM100,000 dan siasatan juga mendapati dua kereta berkenaan dicuri bagi melakukan kegiatan samun.

Modus operandi mereka ialah berlegar-legar di kawasan sasaran sebelum menyamun kereta, rumah dan individu, tetapi tidak mencederakan mangsa, katanya.

"Hasil soal siasat mendapati dua wanita itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau tetapi tiga lelaki itu mempunyai rekod jenayah iaitu enam kes samun, curi dan dadah," katanya.

Mereka kini ditahan reman sehingga 23 Oktober dan polis sedang menjejaki saki baki anggota kumpulan itu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain