suria

Pindaan KPJ Mantapkan Sistem Keadilan Jenayah - Hakim Besar Malaya

KUALA LUMPUR: Pindaan terhadap Kanun Prosedur Jenayah adalah bertujuan memantapkan sistem keadilan jenayah negara selaras program transformasi kerajaan, kata Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin.

Beliau berkata tujuan undang-undang itu dipinda baru-baru ini ialah bagi menyelesaikan kes tertunggak di mahkamah selain menyediakan satu konsep untuk 'perbicaraan pantas'.

"Begitu juga dengan pelupusan pantas, ia bagi memastikan sesuatu kes jenayah dilupuskan dalam tempoh yang singkat," katanya dalam ucaptama ketika melancarkan buku 'Criminal Litigation Process' pada Jumaat.

Zulkefli berkata proses pentadbiran keadilan jenayah sudah pasti memiliki kelemahan, dan bagi menangani isu ini, mereka yang berkepentingan digesa turut sama mencari penyelesaian.

"Mengkritik memang mudah tetapi untuk mencari penyelesaian memerlukan kesungguhan serta kejujuran.

"Saya selalu menyatakan bahawa badan kehakiman dan pejabat saya sentiasa terbuka untuk sebarang saranan berhubung cara dan kaedah bagi terus memantapkan sistem keadilan jenayah," katanya.

Zulkefli berkata dalam mentadbir keadilan jenayah, kita perlu mempunyai undang-undang yang efektif dan mampu dilaksanakan seperti KPJ.

Beliau berkata terdapat beberapa perubahan penting dan penambahbaikan melalui pindaan KPJ pada 2007 yang harus dipuji, seperti penemuan pra-perbicaraan, takrifan jelas hak orang yang ditangkap serta prosedur carian yang perlu dipatuhi pegawai penguatkuasaan ke atas tertuduh.

Katanya, pindaan 2007 juga membabitkan peruntukan yang mengurangkan atau membuang kebergantungan terhadap kenyataan beramaran.

Beliau berkata hukuman baru, yang melalui tempoh percubaan dengan jayanya seperti khidmat masyarakat, juga diperkenalkan.

"Pindaan KPJ pada 2010 pula memperkenalkan konsep 'plea bargaining' atau rundingan bagi pengakuan bersalah, persidangan pra-perbicaraan, kenyataan saksi selain pindaan baru membabitkan alibi, dilepas tanpa dibebaskan serta pelupusan barangan rampasan, dan selepas itu, ia tidak lagi dipinda," katanya.

Menyentuh buku yang dilancarkan hari ini, Zulkefli berkata ia meliputi perkara penting dan signifikan dalam proses awal hingga akhir sesuatu litigasi jenayah.

"Saya yakin ia akan mendapat sambutan ramai dan akan menjadi buku yang perlu dimiliki mereka yang berhasrat memahami undang-undang jenayah," katanya.

Penulisnya, peguam Datuk Baljit Singh Sidhu berkata buku itu merupakan edisi kedua dan mengandungi perkembangan terbaru perundangan negara yang berkaitan. Buku pertama beliau diterbitkan pada 2008. Edisi kedua ini boleh didapati pada harga RM395. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain