suria

Muhyiddin Lawat Singapura Pada Isnin

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan melakukan lawatan rasmi pertamanya ke Singapura pada 24 dan 25 Oktober ini.

Lawatan itu bertujuan mengukuhkan hubungan dan kerjasama yang lama terjalin antara kedua-dua negara berjiran itu, menurut kenyataan Wisma Putra pada Jumaat.

Dalam lawatan itu, Muhyiddin akan diiringi isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman selain Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Lajim Ukin, Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Dr James Dawos Mamit dan para pegawai kanan dari Kementerian Luar.

Timbalan Perdana Menteri dijadual melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan timbalannya, Teo Chee Hean, serta mengadakan perbincangan dua hala dengan Menteri Pelajaran Singapura Heng Swee Keat.

Muhyiddin akan turut melawat Institut Pendidikan Teknikal, Lembaga Pelancongan Singapura dan Insinerator Tuas. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain