suria

Miliki Poster Haram: Dua Lelaki Mengaku Tidak Bersalah

JOHOR BAHARU: Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, Jumaat atas tuduhan memiliki poster iklan pinjaman wang dengan membantu untuk mengiklankan poster berkenaan secara haram, Isnin lepas.

Tan Chee How, 26, dan Kok Chee Hoong, 41, didakwa memiliki sembilan poster iklan pinjaman wang dengan membantu untuk mengiklankannya sedangkan mereka tidak mempunyai lesen sah di simpang lampu isyarat di Jalan Permas 9/3, di sini, kira-kira pukul 4.15 petang, 17 Oktober lepas.

Kedua-dua mereka yang berasal dari Port Dickson, Negeri Sembilan dan Taman Johor Jaya, di sini dituduh melakukan kesalahan berkenaan mengikut Seksyen 5(1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 29AA(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, iaitu dipenjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Majistret Hafizah Johor Ariff Johor menetapkan Tan dan Kok masing-masing diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan 23 Nov depan untuk bicara.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya M.Vinodharan manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. Sementara itu, dua 'Ah Long' turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memberikan pinjaman wang secara haram, Selasa lepas.

Chai Min Chian, 28, dan Pang Chin Yee, 26, didakwa menjalankan perniagaan pemberi pinjaman wang dengan menawarkan kepada Lim Kok Khim pinjaman kepadanya sedangkan kedua-dua mereka tidak mempunyai lesen yang sah di premis Nanyang Kopitiam, di Jalan Sutera, Taman Sentosa, di sini, kira-kira pukul 12.30 tengah hari, 18 Oktober lepas.

Chai dan Pang dituduh mengikut Seksyen 5(2) Akta Peminjam Wang 1951 yang boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang RM250,000 dan tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tempoh lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mereka juga boleh dikenakan sebatan sekiranya kesalahan adalah berulang.

Hakim Hassan Abdul Ghani menetapkan Chai dan Pang masing-masing dikenakan ikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin dan 14 hingga 17 Nov depan untuk bicara.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Chuah Shyue Chien manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Mohd Ashram Zakaria. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain