suria

Laporan Ketua Audit Negara Dibentang Isnin

KUALA LUMPUR: Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2010 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin, kata Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang.

Ambrin berkata beliau akan memberi taklimat kepada anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Negara (PAC) di Parlimen pada hari sama. "Jabatan Audit Negara ingin memaklumkan segala persiapan telah dibuat supaya LKAN 2010 dibentang pada Isnin, bersekali dengan laporan maklum balas yang disediakan Perbendaharaan Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau menjelaskan sejak 2010, LKAN tidak dibentang pada hari yang sama dengan pembentangan belanjawan negara bagi membolehkan kedua-dua perkara berkenaan mendapat liputan saksama.

"Sejak tahun 1982 lagi, LKAN dimaklumkan kepada Jemaah Menteri sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat supaya kerajaan dapat mengetahui isu-isu yang dibangkitkan oleh audit dan bersedia memberi penjelasan apabila diperlukan," katanya.

Ambrin menjelaskan LKAN bagi negeri dimaklumkan terlebih dahulu kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebelum dibentangkan di Dewan Undangan Negeri masing-masing.

"Jabatan Audit Negara juga ingin menegaskan tidak ada apa-apa pindaan dibuat oleh Kerajaan Persekutuan mahupun negeri terhadap LKAN berkenaan," katanya.

Beberapa Anggota Parlimen mewakili pakatan pembangkang mempersoalkan ketiadaan laporan itu semasa pembentangan Belanjawan 2012 di Dewan Rakyat baru-baru ini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain