suria

Jurujual Mengaku Tidak Bersalah Pecah Amanah

SHAH ALAM: Seorang bekas jurujual mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas tiga tuduhan melakukan pecah amanah terhadap harta syarikat tempat dia bekerja berjumlah RM42,113.67.

Fong Kam Yuen, 38, didakwa melakukan kesalahan itu antara 28 Ogos 2006 dan 5 April 2007 di syarikat pengedar jubin dan batu marmar, CM Supreme (M) Sdn Bhd di Batu 15 1/2, Jalan Kuala Selangor, Sungai Buloh, dekat sini.

Tertuduh yang beralamat di Puchong, dekat sini didakwa melakukan perbuatan itu apabila menyalahgunakan wang berjumlah RM17,280 yang merupakan hasil jualan yang diterimanya dari Syarikat Y&L yang sepatutnya diserahkan ke CM Supreme.

Selain itu, dia juga didakwa melakukan kesalahan sama terhadap barangan yang diamanahkan ke atasnya iaitu jubin-jubin yang bernilai RM7193.67 dan RM17,640.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dihukum sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Kamaruddin menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar jumlah tersebut dikurangkan atas alasan dia mempunyai seorang isteri yang tidak bekerja.

"Abang saya yang akan menjamin dan dia hanya mampu membayar antara RM7,000 ke RM8,000 sahaja," katanya.

Hakim Aslam Zainuddin menetapkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh diarahkan untuk menyerahkan pasport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah.

Kes akan disebut semula pada 23 November depan untuk lantikan peguam.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain