suria

Jualan Amal Di Kompleks Kraf KL Bantu Kartunis Negara

Fatah Ngah
Fatah Ngah
Fatah Ngah

KUALA LUMPUR: Konsortium CAW (Cartoonist At Work) Sdn Bhd dan Pemuda UMNO Malaysia serta Perkampungan Pelukis Kompleks Kraf Kuala Lumpur pada Jumaat mengadakan Majlis Pelancaran Pameran dan Jualan Amal Koleksi Kartunis Fatah Ngah.

Program amal tersebut dianjurkan untuk membantu kartunis dan pelukis, Fatah Ngah yang uzur dan memerlukan bantuan untuk menampung kos rawatan penyakit saraf yang dihadapinya.

"Acara ini dianjurkan buat julung kalinya untuk membantu kartunis Fatah Ngah dan wang hasil jualan lukisan dari Fatah akan digunakan untuk menampung kos rawatan dan sara hidupnya.

"Individu dan syarikat boleh membantu Fatah dengan membeli hasil karya beliau yang mempunyai nilai seni yang tersendiri," kata Pengerusi Kraftangan Malaysia, Datuk Sohaimi Shahadan ketika merasmikan pameran tersebut di Kompleks Kraf di sini.

Fatah merupakan antara pelopor kartunis dan seni lukis di negara ini yang seangkatan dengan kartunis terkenal negara, Datuk Mohammad Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Lat.

Sebanyak tujuh lukisan karya Fatah sejak tahun 1994 dijual dari harga RM5,000 hingga RM15,000. Selain hasil lukisan Fatah, lebih 28 buah lukisan yang disumbangkan oleh beberapa kartunis dan pelukis tempatan turut dijual untuk menjayakan program amal tersebut.

Pameran dan Jualan Amal Koleksi Kartunis Fatah Ngah berlangsung selama seminggu dari 21 hingga 30 Oktober 2011 pada jam 9 pagi hingga 7 malam.

Untuk maklumat lanjut mengenai Fatah dan jualan amal tersebut, hubungi bahagian komunikasi korporat Kraftangan Malaysia di talian 03 21627533 atau layari www.kraftangan.gov.my.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain