suria

Guru Tuisyen Didakwa Perdagang Amah

AMPANG: Seorang guru pusat tuisyen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas tuduhan memperdagangkan seorang pembantu rumah warga Kemboja, bulan lalu.

Pengakuan Lim Chee Chong, 41, direkodkan di hadapan Hakim Sarimah Hashim sebaik sahaja pertuduhan terhadapnya dibacakan.

Tertuduh didakwa memperdagangkan Khy Saretha, 23, untuk tujuan eksplotasi dengan tidak membayar gaji untuk tempoh selama sembilan bulan lapan hari, iaitu antara 25 November 2010 hingga 2 September lalu yang keseluruhannya berjumlah RM5,400.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada pukul 3.45 petang, 2 September lalu di sebuah rumah di alamat Nombor 62, Jalan Taman Pandan Indah 5/18, Taman Pandan Indah, di sini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Zuraini Ab Hamid mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan 2007.

Jika disabitkan dengan kesalahan, tertuduh yang merupakan pemilik Pusat Tuisyen 'Cikgu Sim' itu boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun dan denda.

Pada prosiding itu, Zuraini menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 kepada tertuduh dan memohon agar pasport antarabangsa tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Peguam Keppy Wong yang newakili Lim merayu agar jumlah itu dikurangkan kepada RM3,000 memandangkan jumlah asal yang ditawarkan adalah terlalu tinggi.

Tambah Keppy, tertuduh telah memberikan kerjasama kepada pihak polis selain telah menyerahkan diri sebaik sahaja kembali dari Taiwan.

"Sekiranya dia tidak boleh menjelaskan jaminan, pelajaran beratus-ratus anak muridnya akan terjejas," tambah Keppy.

Bagaimanapun, Sarimah menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 kepada Lim dengan seorang penjamin dan kes akan dibicarakan pada 15 November depan.

Pada 3 September lalu, sebuah akhbar tabloid melaporkan penderitaan seorang pembantu rumah warga Kemboja yang dikurung berakhir selepas diselamatkan sepasukan polis di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Pandan Indah.

Mangsa difahamkan telah dikurung untuk tempoh selama seminggu sebelum diselamatkan dan hanya diberi makan mee segera.

Selain itu, mangsa juga didakwa tidak dibekalkan kunci rumah atau nombor telefon majikannya untuk tujuan kecemasan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain