suria

UIAM Beri Peluang Kepada Prof Dr Aziz Bari Jawab Segala Isu Berkaitan Kenyataannya

GOMBAK: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam satu kenyataan ringkasnya pada Khamis menegaskan bahawa Sekretariat Lembaga Disiplin, Tatatertib dan Kakitangan Unit Perundangannya kini memberi peluang kepada Prof Dr Abdul Aziz Bari untuk menjelaskan mengenai isu-isu semasa yang kaitkan dengan beliau baru-baru ini.

Kenyataan tiga paragraf itu yang ditandatangani oleh Pengarah Pejabat Perhubungan Awam UIAM, Abdul Rahim Ahmad menyebut, sekretariat berkenaan sedang mengumpul maklumat lengkap berhubung isu-isu semasa yang dikaitkan dengan Prof Dr Abdul Aziz Bari.

Sekretariat itu, jelas kenyataan tersebut akan menilai secara terperinci sama ada kenyataan-kenyataan Prof Dr Abdul Aziz yang merupakan salah seorang ahli akademik dan pensyarah UIAM bercanggah dengan mana-mana peraturan universiti atau sebaliknya.

Kenyataan itu tidak menjelaskan secara khusus mereka merujuk kepada isu semasa yang mana satu.

Media sebelum ini melaporkan Abdul Aziz sebagai berkata, tindakan Sultan Selangor untuk campur tangan berhubung isu pemeriksaan sebuah gereja itu bukan sesuatu tindakan yang biasa terjadi.

Menurutnya, sebagai ketua agama Islam di negeri itu, baginda mempunyai hak untuk campur tangan tetapi ini perlu dijalankan selaras dengan ajaran Islam.

Artikel Lain