suria

Pengeksport Malaysia Perlu Guna Matrade Untuk Tembusi Pasaran China

NANNING(China): Para pengeksport kecil dan sederhana Malaysia dinasihati menggunakan perkhidmatan empat wakil perdagangan negara ini di China bagi mencapai kejayaan di pasaran yang mempunyai 1.4 bilion penduduk itu.

Pesuruhjaya Perdagangan Shawn Sim, yang telah berkhidmat selama tiga tahun daripada tempoh perkhidmatan empat tahun di Guangzhou, berkata pertama kalinya para pengeksport perlu menghantar butiran produk masing-masing kepada pejabat Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di Beijing, Shanghai, Chengdu dan Guangzhou.

Pesuruhjaya Perdagangan di tempat berkenaan kemudiannya akan melakukan kajian pasaran dan cuba mencari pembeli yang mempunyai potensi yang baik bagi dilakukan pemadanan perniagaan.

Jika boleh, minta pesuruhjaya perdagangan hadir di pertemuan berkenaan kerana di China, dasar dan perniagaan adalah selari dan ini akan mendorong rakan berpotensi bercakap secara serius, katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan Ekspo China-Asean (CAEXPO) 2011 ke-lapan dari 21 hingga 26 Oktober di sini.

Katanya pengeksport juga perlu menggunakan perkhidmatan syarikat penasihat perniagaan bagi memeriksa syarikat yang berurusan dengan mereka, seperti di segi operasi semasa dan status kewangan.

"Yang ke-tiga, peruntukan yang lebih besar diperlukan bagi promosi dan tujuan lain bagi dijalin hubungan yang lebih mendalam," kata Sim.

Pembungkusan juga sangat penting sebagai tambahan kepada produk yang baik, katanya.

Mengenai sarang burung, katanya para pengeksportnya perlu menguji produk masing-masing terlebih dahulu di Malaysia bagi melihat kandungan nitrat.

Kini, 80 peratus produk sarang burung di pasaran China datang dari Malaysia walau pun Indonesia merupakan pengeluar terbesar dan bagi mengekalkan agihan pasarannya, Malaysia perlu memperkenalkan satu standard bagi sarang burung untuk menangani isu kandungan nitrat, katanya.

Sim, yang berpangkalan di Guangzhou yang meliputi tujuh wilayah di China, berkata Malaysia perlu mempunyai lebih ramai pesuruhjaya perdagangan di negara itu.

"Empat orang yang ada tidak mencukupi. Wilayah seperti Guangdong mempunyai 21 bandaraya.

"Jika dilihat Korea, mereka mempunyai 12 dan mereka mahu menambah bilangan itu kepada 18. Singapura mempunyai lebih 10. Jadi, Malaysia perlu menambah pejabat promosi perdagangan. Ia bukan satu opsyen," katanya.

China adalah rakan dagangan utama Malaysia pada 2010. Perdagangan dua hala antara Malaysia dan China berjumlah RM146.53 bilion dengan eksport Malaysia berjumlah RM80.1 bilion dan import RM66.43 bilion.

Pada tempoh tujuh bulan pertama 2011, jumlah dagangan dicatatkan RM92.35 bilion dengan eksport RM50.84 bilion dan import RM41.51 bilion. - BERNAMA

Artikel Lain